Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

36 pendidik madrasah diiktiraf pembimbing AI

Setelah jalani program bersama Yayasan Asean, AI Singapore; sektor madrasah siap manfaat AI, namun kekal nilai agama
Nov 26, 2025 | 8:01 PM
Simposium Guru Madrasah, MTS, muis, madrasah, asatizah
Seramai 430 guru madrasah sepenuh masa, sambilan dan asatizah berhimpun di Hotel Furama RiverFront pada 25 November bagi Simposium Guru Madrasah (MTS) 2025 untuk membincangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan Islam. - Foto MUIS

Sektor madrasah kini lebih bersedia menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) sambil mengekalkan nilai pendidikan Islam, selepas 36 pendidik daripada sektor itu disahkan sebagai Pembimbing Utama Sedia AI Asean melalui Program Sedia AI Asean.

Program itu, yang dijalankan dengan kerjasama AI Singapore dan Yayasan Asean, serta disokong Google.org iaitu badan amal syarikat tersebut, bertujuan memperkasa 5.5 juta rakyat anggota Asean untuk lebih bersedia menghadapi era AI.

Bagi edisi kelima Simposium Guru Madrasah (MTS), seramai 430 guru madrasah sepenuh masa, sambilan, dan asatizah berhimpun di Hotel Furama RiverFront untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman.

MTS, yang kali pertama diadakan pada 2016, bertujuan menyediakan wadah bagi guru untuk berkongsi pengetahuan dan amalan terbaik bersama rakan sejawat.

Acara yang diadakan pada 25 November itu merupakan kali pertama penyertaan dibuka kepada pendidik sambilan daripada program seperti aLIVE serta Pusat dan Penyedia Pendidikan Islam (IECP) yang lain.

Dalam pada itu, 24 peserta mempamerkan kemahiran tinggi dalam penggunaan AI semasa Cabaran Penggunaan AI bagi Guru Madrasah, menerapkan penggunaan praktikal AI dalam pembangunan kurikulum dan penilaian pelajar.

Menurut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 26 November, sijil Pembimbing Utama Sedia AI Asean dan Cabaran Penggunaan AI bagi Guru Madrasah merupakan kegiatan prasimposium yang dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai potensi penggunaan AI di bilik darjah.

Bertema, ‘Madrasah dalam Era Digital: Menggabungkan Teknologi dan Tradisi dengan Harmoni’, simposium itu menandakan pencapaian penting dalam perjalanan transformasi digital sektor tersebut, dengan memanfaatkan inisiatif pembangunan celik AI yang menyeluruh sepanjang 2025.

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, yang hadir selaku tetamu terhormat, menekankan kepentingan mengekalkan ‘keaslian rohani’ sambil menerima inovasi yang bermanfaat.

Menegaskan kepentingan warisan intelektual, warisan moral dan tradisi rohani sebagai panduan dalam menghadapi perubahan dan membentuk masa depan yang bermakna, beliau berkata:

“Inilah keseimbangan yang perlu kita kekalkan sebagai pemimpin dan pendidik, supaya kita dapat meneruskan legasi ulama dan institusi agama dalam membentuk generasi pelajar masa depan yang mampu membimbing masyarakat dengan ilmu dan kejelasan moral dalam dunia yang semakin kompleks.”

Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, selaku tetamu terhormat, menekankan kepentingan mengekalkan ‘keaslian rohani’ sambil menerima inovasi, bagi membimbing generasi pelajar masa depan dengan ilmu dan nilai moral dalam dunia yang semakin kompleks.
Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, selaku tetamu terhormat, menekankan kepentingan mengekalkan ‘keaslian rohani’ sambil menerima inovasi, bagi membimbing generasi pelajar masa depan dengan ilmu dan nilai moral dalam dunia yang semakin kompleks. - Foto MUIS

Pengarah Pembangunan Bakat AI di AI Singapore, Encik Koo Sengmeng, serta Profesor Madya Dr Zahid Syed Ali daripada Universiti Michigan-Flint, turut berkongsi pandangan serupa dalam ucaptama mereka, sambil menekankan kepentingan menggunakan teknologi secara bertanggungjawab untuk meningkatkan proses pembelajaran.

Semasa acara itu, peserta berpeluang mengambil bahagian dalam bengkel berstruktur dan sesi kerjasama, termasuk sesi pecahan yang dikendalikan oleh guru.

Melalui sesi tersebut, peserta berjaya meningkatkan keupayaan menggunakan AI untuk menganalisis data penilaian, memperkukuh pembelajaran Bahasa Arab, serta menggalakkan pembelajaran kendiri dalam kalangan pelajar.

“Penggunaan AI mengubah cara kerja saya. Menyediakan pelajaran untuk satu minggu yang dulu mengambil masa kira-kira 10 jam, kini hanya mengambil masa kurang satu jam,” kongsi Encik Mohammad Fauzi Azman, guru Bahasa Inggeris, Geografi dan Pendidikan Jasmani dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

“Masa tambahan ini membolehkan saya merancang pengalaman pembelajaran lebih bermakna dan membina alat seperti chatbot yang membantu menganalisis data penilaian serta mengenal pasti bila pelajar memerlukan sokongan.”

Simposium itu jelas mengukuhkan visi Muis untuk membangunkan asatizah yang bersedia menghadapi masa depan, yang mampu mengharungi cabaran moden sambil tetap berpegang teguh kepada prinsip Islam.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, melalui satu mesej rakaman, mengiktiraf peranan penting pendidik madrasah dalam membentuk minda generasi muda dan mempersiapkan pelajar menghadapi masa depan.

“Setiap kali anda (pendidik) menyediakan pengajaran, mencuba sesuatu yang baru, atau membantu seorang pelajar memahami sesuatu dengan lebih baik, anda sedang menjayakan visi tersebut,” ujar Dr Faishal.

“Perubahan tidak berlaku hanya kerana teknologi semata-mata. Ia berlaku kerana guru seperti anda mengambil berat dan berusaha untuk merealisasikannya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg