Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatankuasa baru Muis bentuk hala tuju strategik hidup beragama di S’pura

Diketuai bersama Mufti, CEO Muis, jawatankuasa turut dianggotai wakil Pergas, RSIS, ARB, Jawatankuasa Fatwa dan PPIS
Nov 23, 2025 | 2:00 PM
faishal ibrahim, edwan nizar ahadan, azree rahim, khairul anwar
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (tiga dari kanan) bersama Pengarah dan Pembimbing Rohani Kehidupan Pelajar di Universiti Duke dan Presiden Persatuan Pembimbing Rohani Muslim (Amerika Syarikat), Dr Joshua Salaam (tiga dari kiri). Bersama mereka ialah (dari kiri) Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Mawaddah, Encik Edwan Nizar Ahadan; Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid, Encik Zalman Putra Ali dan (dari kanan) dua Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Mohammad Azree Rahim dan Encik Khairul Anwar Mohamed Abdul Alim - Foto MUIS

Satu jawatankuasa yang bertujuan menetapkan dan membimbing keutamaan jangka panjang bagi kehidupan beragama masyarakat Melayu/Islam telah dibentuk.

Jawatankuasa pengurusan Kehidupan Beragama Masyarakat (CRL) itu, antara lain, akan membimbing sektor masjid dalam menyokong warga emas yang memerlukan bantuan sosioemosi dan kerohanian, serta membangunkan keupayaan untuk membimbing warga Islam Singapura yang menghadapi cabaran kehidupan yang semakin kompleks.

Berucap di Perhimpunan Sektor Satu Masjid (OMS) di Masjid Al-Amin pada 22 November, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata pembentukan jawatankuasa itu hadir pada waktu yang penting memandangkan sektor masjid kini memasuki fasa transformasi seterusnya untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam yang semakin berkembang.

Diketuai bersama oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, jawatankuasa itu menghimpunkan pemimpin kanan Muis serta wakil sektor daripada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB), Jawatankuasa Fatwa dan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata: “Masjid kita tidak boleh sekadar menjadi rumah ibadat. Ia mesti menjadi pusat kecemerlangan yang menginspirasi, menyatukan dan mengangkat martabat seluruh masyarakat kita.

“Jawatankuasa Penyelarasan CRL ditubuhkan untuk memberikan hala tuju strategik bagi kehidupan beragama masyarakat kita.”

Jawatankuasa pengurusan CRL diumumkan buat kali pertama semasa Persidangan OMS pada Februari lalu.

Jawatankuasa tersebut akan menyelia pelaksanaan inisiatif CRL, menyelaras perancangan program di lebih 70 masjid dan memastikan keselarasan dengan keutamaan nasional.

Fokus awalnya merangkumi golongan belia, warga emas dan Bimbingan Rohani Islamik (ISCG), iaitu bidang yang dikenal pasti menerusi sesi libat urus sektor tahun ini.

Hampir 500 belia mengambil bahagian dalam dialog dan simposium CRL, yang menonjolkan cabaran berkaitan identiti, hubungan sosial, kesihatan mental dan pengaruh dalam talian.

Dapatan ini akan membentuk program belia baru pada 2026 di bawah Dana Kolaborasi CRL, kata Muis dalam kenyataannya pada 22 November.

Bagi warga emas, masjid seperti Masjid Al-Muttaqin telah merintis inisiatif mesra warga emas, program Santunan Emas dan ruang khusus warga emas yang menggabungkan aktiviti fizikal, sokongan emosi dan pembelajaran agama.

Muis merancang meluaskan model tersebut ke lebih banyak masjid.

Jawatankuasa itu juga akan memperkukuh bidang Bimbingan Rohani Islam – satu bidang yang semakin berkembang di mana asatizah terlatih memberi sokongan kepada jemaah yang berdepan kedukaan, trauma, isu penghujung hayat dan peralihan hidup lain.

Beberapa masjid kini bekerjasama dengan hospital, hospis dan agensi sosial untuk menyediakan khidmat bimbingan rohani secara langsung.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Pengarah Kanan OMS Muis, Encik Zalman Ali, berkata jawatankuasa itu akan membantu menyelaras sektor dan menangani jurang keupayaan dalam kalangan kakitangan masjid dan asatizah.

“Tujuannya ialah untuk memastikan seluruh sektor bergerak seiring... mengenal pasti jurang serta bidang yang perlu terus diperkukuh,” katanya.

Ini termasuk pelaksanaan latihan asas bagi semua asatizah untuk berinteraksi dengan masyarakat, dengan laluan lanjutan disediakan bagi mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang seperti khidmat penjara atau penjagaan paliatif.

Beliau menambah bahawa penyeliaan konsisten masih menjadi cabaran, justeru masjid besar akan diutamakan pada fasa awal pelaksanaan kerana “mereka ada sumber dan bahan untuk menjadi model, dan masjid lain boleh mengikutinya”.

Anggotanya merangkumi pemimpin kanan seperti Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Khairul Anwar; Timbalan Mufti, Dr Izal Mustafa; Encik Zalman; Pengarah Kanan Pendidikan Muis, Encik Mohamed Azam Abdul Aziz.

Ia juga terdiri daripada wakil sektor seperti Presiden Pergas, Ustaz Tarmizi Wahid; Zamil Kanan dalam Program Pengajian dalam Hubungan Antara Agama dalam Masyarakat Majmuk (SRP) di RSIS, Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Ustaz Dr Mohamed Ali, yang juga Pengerusi Bersama Geylang Serai Harmony Circle dan Pengerusi Bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG); Naib Pengerusi ARB, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar; anggota jawatankuasa Fatwa, Ustazah Dr Sakinah Saptu; dan Pekerja Sosial Utama Pusat Khidmat Keluarga Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Nasriah Nasir, masing-masing mewakili kepakaran agama, akademik dan khidmat sosial.

Dr Faishal berkata beliau yakin jawatankuasa itu akan membantu sektor masjid “kekal relevan, responsif dan berimpak” dalam menghadapi keperluan masyarakat yang semakin kompleks, sambil menekankan kepentingan kerjasama dengan agensi seperti M Kuasa Tiga (M³), Lembaga Promosi Kesihatan (HPB), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan organisasi masyarakat lain bagi memperkukuh sokongan terhadap keluarga lslam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg