Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

37,000 pekerja jagaan kesihatan bukan jururawat naik gaji pertengahan 2025

26,000 jururawat institusi jagaan kesihatan awam juga boleh jangka gaji naik hasil penyesuaian gaji
Jan 29, 2025 | 2:09 PM
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, bertemu kakitangan penjagaan kesihatan setelah berkunjung ke bilik bedah besar di Hospital Besar Singapura (SGH) pada 29 Januari.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, bertemu kakitangan penjagaan kesihatan setelah berkunjung ke bilik bedah besar di Hospital Besar Singapura (SGH) pada 29 Januari. - Foto ST

Sekitar 37,000 pekerja penjagaan kesihatan bukan jururawat boleh menjangkakan kenaikan gaji menjelang pertengahan 2025, umum Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Tiga kumpulan pekerja yang akan meraih manfaat daripada kenaikan gaji itu ialah ahli farmasi; kakitangan pentadbiran, sampingan dan sokongan; serta karyawan kesihatan bersekutu seperti ahli fisioterapi, jurupulih pekerjaan dan pakar pemakanan.

Buitran mengenai jumlah kenaikan, bagaimanapun, sedang ditetapkan dan maklumat lanjut akan diumumkan setelah perbincangan bersama kesatuan sekerja, kata Encik Ong.

Bercakap kepada wartawan setelah bertemu pesakit, jururawat dan kakitangan di Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Masyarakat Outram (OCH) pada hari pertama Tahun Baru Cina pada 29 Januari, Encik Ong berkata langkah itu sebahagian usaha Kementerian Kesihatan (MOH) sejak tahun lalu untuk memberi insentif serta menyesuaikan gaji pekerja penjagaan kesihatan agar ia kekal berdaya saing, termasuk pada peringkat dunia.

“Kita tidak berada dalam keadaan kita tidak dapat mencari orang (untuk menyertai sertai sektor ini), tetapi kita dalam keadaan persaingan semakin sengit.

“Mereka boleh pergi ke sektor swasta. Mereka boleh pergi ke luar negara. Jika anda ahli fisioterapi, anda boleh pergi ke banyak tempat sekarang. Kita hanya mahu memastikan bahawa kita berdaya saing,” kata Encik Ong.

Selain persaingan bagi tenaga kerja di serta dunia, Encik Ong juga menekankan adalah penting menaikkan gaji pekerja penjagaan kesihatan kerana pemintaan bagi penjagaan kesihatan yang meningkat di Singapura serta penduduk yang kian menua.

“Tahun lalu, banyak yang kita telah lakukan bagi doktor dan doktor gigi. Kita juga melaksanakan skim Anugerah bagi Adab, Kecemerlangan dan Kesetiaan Jururawat (Angel), iaitu skim insentif jangka panjang bagi jururawat kita... kita juga memberikan sokongan kepada sektor penjagaan masyarakat.

“Sudah tentu, ada sekumpulan besar bertanya, ‘bagaimana tantang saya?’,” kata Encik Ong, merujuk kepada tiga golongan itu yang giliran mereka untuk naik gaji adalah tahun ini.

Ketua Profesional Kesihatan Bersekutu, Hospital Masyarakat SingHealth & SingHealth, Profesor Madya Adjung Tan Bee Yee, meluahkan harapan usaha itu akan membantu mengekalkan bakat.

“Namun ia bukan hanya tentang gaji, tetapi sebenarnya bagaimana kami boleh menarik minat mereka bagi pekerjaan sangat bermakna ini, serta juga menawarkan laluan pembangunan kerjaya berbeza buat karyawan kesihatan bersekutu kami.

“Ini supaya mereka bukan perlu terus melakukan kerja klinikal sahaja, bahkan menceburi bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi.”

Kali terakhir gaji ahli farmasi, kakitangan pentadbiran, sampingan dan sokongan serta karyawan kesihatan bersekutu naik ialah pada 2021.

Presiden Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik K. Thanaletchimi, berkata langkah itu diumumkan tepat pada waktunya.

Melebihi gaji, beliau berkata kebajikan pekerja penjagaan kesihatan juga perlu diberi perhatian.

“Kami gembira banyak hospital telah memperkenal aturan kerja fleksibel dan ini sebenarnya menyokong keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi pekerja penjagaan kesihatan, dan ini perlu dilakukan serentak,” ujarnya.

Di samping itu, 26,000 jururawat di institusi penjagaan kesihatan awam akan meraih manfaat daripada langkah penyesuaian gaji mereka, untuk mengikuti trend pasaran, umum MOH dalam satu kenyataan media.

Penyesuaian itu lebih kecil berbanding penyesuaian gaji bagi pekerja penjagaan kesihatan bukan jururawat kerana ia berdasarkan skim Angel yang diperkenal tahun lepas untuk menarik dan menggalak jururawat membina kerjaya sepanjang hayat dalam kejururawatan.

Melebihi sektor penjagaan kesihatan awam, MOH melaksana peningkatan gaji bagi pertubuhan penjagaan masyarakat pada 2024, di mana pertubuhan layak mendapat sokongan pembiayaan untuk menaikkan gaji kakitangan mereka.

Panduan gaji bagi sektor pertubuhan penjagaan masyarakat juga diterbitkan buat kali pertama pada 2024 supaya ia lebih telus buat pekerja dan mereka yang ingin mencari pekerjaan dalam sektor tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg