Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 dalam 5 penduduk S’pura puas hati dengan hubungan jiran

Namun 83 peratus berdepan halangan interaksi dengan jiran
Sep 21, 2024 | 5:45 PM
(Dari kiri) Penolong Pengarah Kanan Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Encik Nicholas Thomas; Pengarah Program dan Operasi SKM, Cik Michelle Tay;  Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; Ketua Pusat Sains Tingkah Laku Gunaan Politeknik Temasek, Dr Tan Wah Pheow; dan Pengerusi Rangkaian Penduduk Zon D Boon Lay, Encik Johny Tan, dalam satu perbincangan panel sewaktu acara penghargaan OneService Kakis pada 21 September.
(Dari kiri) Penolong Pengarah Kanan Pejabat Kerjasama Pemerintah Singapura, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Encik Nicholas Thomas; Pengarah Program dan Operasi SKM, Cik Michelle Tay; Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann; Ketua Pusat Sains Tingkah Laku Gunaan Politeknik Temasek, Dr Tan Wah Pheow; dan Pengerusi Rangkaian Penduduk Zon D Boon Lay, Encik Johny Tan, dalam satu perbincangan panel sewaktu acara penghargaan OneService Kakis pada 21 September. - Foto ST

Kebanyakan penduduk di Singapura berpuas hati dengan hubungan bersama jiran mereka, dengan peningkatan terbesar dicatatkan dari segi menawarkan bantuan kepada satu sama lain mahupun bertimbang rasa dalam mengurangkan bunyi bising.

Demikian antara dapatan Tinjauan Sifat Baik Budi yang dikeluarkan pada 21 September.

Bagaimanapun, seramai 83 peratus berdepan dengan halangan berinteraksi dengan jiran mereka dengan halangan terbesar merupakan peluang terhad memandangkan mereka pulang ke rumah pada waktu berbeza atau pintu rumah mereka tertutup.

Di samping itu, didapati bahawa kumpulan umur yang lebih muda berkemungkinan besar menyifatkan faktor tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada jiran mereka sebagai penghalang utama.

Tinjauan yang dijalankan Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM) atas kerjasama dengan Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO) itu dijalankan ke atas 1,000 warga Singapura dan penduduk tetap.

Pandangan terhadap sifat baik budi di dalam talian juga mencatat peningkatan berbanding 2023, namun gesaan untuk meningkatkan pendidikan berkenaan tingkah laku dalam talian yang baik berterusan dari tahun itu.

Secara keseluruhan, sebanyak 81 peratus responden meluahkan rasa puas hati tentang hubungan bersama jiran mereka, peningkatan daripada 69 peratus pada tahun sebelumnya.

Peningkatan besar ini diterajui sentimen positif dalam kalangan responden lebih muda berusia 25 tahun hingga 44 tahun.

Menukil dapatan tinjauan ini sebagai “menggalakkan”, Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, berkata ini mencerminkan usaha MSO yang giat mendekati anak muda Singapura.

“Pasukan kami telah turun padang dan berusaha menggalakkan masyarakat agar mengambil tanggungjawab atas pembinaan norma. Banyak daripada usaha ini melibatkan warga Singapura yang muda, mereka lebih mudah menerima.

“Norma sosial berubah dari masa ke semasa dan saya rasa pemacu perubahan sosial yang paling berkuasa adalah perubahan generasi.

“Jika kita menyediakan warga Singapura, khususnya yang lebih muda dengan alat untuk mengembangkan norma sosial yang sangat positif dan membawa bersama orang ramai agar lebih ramai warga Singapura daripada lapisan umur berbeza dapat menerima norma itu, ia akan membuat kita maju ke depan dengan lebih cepat,” ujarnya dalam sesi perbincangan panel yang diadakan sewaktu majlis penghargaan OneService Kakis yang diadakan di bangunan Kementerian Pembangunan Negara (MND) di Maxwell Road.

Walaupun responden rata-rata berasa bahawa pengalaman bersama jiran lebih positif tahun ini berbanding 2023, mereka berasa terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam aspek menangani kegiatan merokok di kawasan awam atau berdekatan tingkap, balkoni atau kawasan lain serta mengurangkan bunyi bising terutamanya pada waktu yang mana bunyi bising disekat.

Kedua-dua hal demikian juga dianggap penting bagi responden selain kepentingan memainkan peranan memastikan ruang awam bersih dan kemas.

Berkenaan kesukaran yang disebabkan oleh jiran, bilangan mereka yang mendakwa mengalami kekacauan berkurang berbanding 2023.

Dalam kalangan mereka yang mengalami kekacauan itu, mereka lebih berkemungkinan cuba menghuraikan masalah secara kasual daripada menggunakan saluran rasmi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg