Topik diikuti
Pergi ke BHku4 didakwa tipu pinjaman rumah $6j, guna hartanah mangsa sebagai cagaran
4 didakwa tipu pinjaman rumah $6j, guna hartanah mangsa sebagai cagaran
Empat lelaki didakwa melakukan penipuan untuk mendapatkan pinjaman perumahan lebih $6 juta dengan menggunakan sebuah hartanah kediaman sebagai cagaran tanpa pengetahuan pemiliknya.
Skim itu melibatkan penyamaran sebagai mangsa, penggunaan dokumen palsu, dan memancing mangsa keluar dari rumahnya supaya penilaian hartanah dapat dilakukan tanpa pengetahuannya, kata polis dalam satu kenyataan pada 9 November.
Keempat-empat suspek, berusia antara 27 dengan 39 tahun, dijadual didakwa di mahkamah pada 10 November.
Sebagai sebahagian daripada penipuan itu, lelaki berusia 39 tahun menyamar sebagai pemilik dan menggunakan dokumen pengenalan palsu untuk permohonan pinjaman.
Lelaki berusia 36 tahun membantu memalsukan Kad Pengenalan Pendaftaran Kebangsaan (NRIC) yang digunakan dalam penipuan itu.
Lelaki berusia 27 tahun memancing pemilik keluar dari rumahnya sebanyak dua kali dengan alasan palsu.
Ketika pemilik berada di luar rumah, lelaki berusia 29 tahun membantu mendapatkan akses ke rumah itu supaya penilai dapat menjalankan penilaian hartanah tanpa pengetahuan pemilik, kata polis.
Melalui penipuan itu, mereka berhasrat mendapatkan pinjaman perumahan lebih $6 juta daripada dua syarikat kredit, tambah polis.
Polis dimaklumkan tentang kes itu pada 3 April apabila menerima laporan daripada mangsa yang mendapati satu kaveat telah difailkan ke atas hartanahnya berkaitan permohonan pinjaman yang tidak dibuatnya.
Kaveat merupakan satu dokumen undang-undang yang boleh difailkan oleh seseorang dengan Penguasa Tanah Singapura (SLA) bagi menghalang pihak lain daripada membeli sesebuah hartanah.
Siasatan awal mendedahkan bahawa dokumen palsu digunakan untuk memohon pinjaman perumahan, dengan hartanah mangsa dijadikan cagaran.
Melalui siasatan susulan, polis mengenal pasti identiti keempat-empat lelaki itu dan menahan mereka dalam operasi dua hari pada 14 dan 15 April. NRIC palsu dan telefon bimbit dirampas.
Siasatan mendedahkan bahawa keempat-empat suspek itu bekerjasama dengan seorang lelaki lain, yang masih dicari polis.
Lelaki berusia 27 tahun dan lelaki berusia 39 tahun masing-masing akan didakwa atas dua tuduhan bersubahat melakukan penipuan, manakala lelaki berusia 29 tahun akan didakwa atas satu tuduhan bersubahat melakukan penipuan.
Sesiapa yang didapati bersalah kerana bersubahat melakukan penipuan boleh dipenjara hingga 10 tahun, didenda atau dirotan, atau kedua-duanya.
Lelaki berusia 39 tahun itu juga akan didakwa atas satu tuduhan memiliki identiti palsu dan tiga tuduhan menggunakan rekod elektronik palsu sebagai rekod sahih.
Jika didapati bersalah atas kesalahan pertama, dia boleh didenda sehingga $10,000, dipenjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya.
Jika didapati bersalah atas kesalahan kedua, dia boleh dipenjara hingga 10 tahun.
Seorang lelaki berusia 36 tahun akan didakwa kerana membantu mengeluarkan kad pengenalan secara haram.
Jika didapati bersalah, dia boleh didenda hingga $10,000, dipenjara hingga 10 tahun, atau kedua-duanya.