Satu penipuan melibatkan iklan palsu bagi kegiatan warga emas, senaman air, dan inisiatif kitar semula sedang menular di media sosial, dengan mangsa mengalami kerugian hampir $1 juta sejak April.

Sekurang-kurangnya 62 kes telah dilaporkan dalam tempoh tersebut, dengan jumlah kerugian mencecah sekurang-kurangnya $989,000, menurut polis dalam satu kenyataan pada 20 Oktober.

Dalam kes berkenaan, mangsa yang menjumpai iklan palsu di wadah media sosial seperti Facebook diperdaya supaya memuat turun fail Pakej Aplikasi Android (APK) untuk mendaftar bagi program atau perkhidmatan tersebut.

Selepas memuat naik aplikasi berkenaan, mangsa akan menerima panggilan daripada penipu yang menyamar sebagai pegawai pemerintah atau wakil bank, yang mendakwa bahawa peranti atau akaun bank mangsa telah digodam.

Mangsa kemudian didesak oleh penipu supaya memindahkan wang, menyerahkan maklumat perbankan atau butiran peribadi, mahupun menyerahkan barang berharga atas sebab ‘siasatan’.

Dalam sebilangan kes, penipu akan melakukan urus niaga bank menerusi perisian hasad jahat yang dimuat turun pada peranti mangsa, kata pihak polis.

Mangsa hanya menyedari mereka telah ditipu selepas mendapati terdapat urus niaga yang tidak diizinkan tersebut.

Orang ramai dinasihati supaya hanya memuat turun aplikasi daripada gedung aplikasi atau app store rasmi dan jangan sekali-kali memuat turun aplikasi daripada sumber yang tidak dikenali.

Pegawai pemerintah Singapura tidak akan sekali-kali meminta orang ramai menyerahkan wang atau barang berharga, berkongsi butiran perbankan, memuat turun aplikasi daripada gedung aplikasi tidak rasmi, atau mengalihkan panggilan anda kepada agensi pemerintah lain, kata pihak polis.

Orang ramai juga perlu mengambil langkah berhati-hati seperti memuat turun aplikasi ScamShield bagi menyekat panggilan penipuan dan menapis khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mencurigakan, serta menyemak kesahihan iklan media sosial menerusi saluran rasmi.

Singapura telah mengalami kerugian lebih $4 bilion akibat penipuan sejak 2019.

Keseluruhan $410.6 juta lesap akibat penipuan dalam tempoh enam bulan pertama 2026, merosot berbanding $500.2 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama pada 2025.

Meskipun terdapat penambahbaikan, polis memberi amaran penipuan kekal sebagai jenis jenayah utama di Singapura, sambil berkata mangsa warga emas mencatatkan purata kerugian tertinggi berbanding golongan usia lain.

Mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas merangkumi 14.4 peratus daripada keseluruhan mangsa penipuan, dengan purata kerugian sebanyak $42,347 bagi setiap mangsa, berdasarkan data penipuan pertengahan tahun daripada pihak polis.

Kebanyakan mangsa berkenaan terpedaya dengan penipuan penyamaran sebagai pegawai pemerintah dan penipuan pelaburan.