Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 lelaki didakwa kendali dron di kawasan perlindungan

Jul 11, 2024 | 4:38 PM
Mengendalikan dron di tempat terlarang tanpa keizinan boleh membawa kepada hukuman denda atau penjara.
Mengendalikan dron di tempat terlarang tanpa keizinan boleh membawa kepada hukuman denda atau penjara. - Foto fail

Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Negara pada 11 Julai kerana didakwa mengendalikan dron di dalam kawasan terlindung, dengan tiga daripada mereka dituduh berbuat demikian di kawasan Marina Bay.

Lelaki keempat didakwa mengendalikan dron, juga dikenali sebagai pesawat tanpa pemandu (UA), berhampiran bangunan Mahkamah Negara di Havelock Square.

Menurut akhbar, The Straits Times, setiap tertuduh menghadapi antara satu dengan lima tuduhan berkaitan operasi UA dan di bawah Akta Pengemudian Udara.

Teo Kian Heng, 56 tahun, didakwa mengendalikan UA di kawasan Marina Bay pada 9 Februari sekitar 9 malam untuk mengambil gambar.

Warga Singapura itu juga dituduh mengendalikan dron pada ketinggian hampir 500 meter dari aras laut, lebih lapan kali ganda had yang ditetapkan, iaitu 60 meter.

Ye Ting Song, 45, warga Britain dan penduduk tetap Singapura, dituduh menerbangkan dron pada ketinggian hampir 470 meter dari aras laut di sekitar kawasan Marina Barrage pada 27 Februari sejurus sebelum 7.20 malam.

Dia didakwa berbuat demikian untuk mengambil gambar kawasan itu.

Warga China, Zhong ZhenSheng, 68, didakwa mengendalikan dron pada ketinggian hampir 150 meter dari paras laut untuk merakam gambar di sekitar kawasan yang sama pada 25 Jun kira-kira 5.30 petang.

Song Yong Sheng, 51, warga Singapura, dikatakan mengendalikan dron berhampiran bangunan Mahkamah Negara pada 23 Jun kira-kira 9.15 malam. Dokumen mahkamah tidak menyatakan alasannya.

Zhong dijangka mengaku bersalah pada 25 Julai, manakala Teo dan Song telah menyatakan mereka akan melakukan perkara yang sama pada 21 Ogos.

Kes Ye akan disebut semula di mahkamah pada 1 Ogos.

Bagi kesalahan mengendalikan dron di tempat yang dilindungi, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga dua tahun dan denda sehingga $50,000.

Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda sehingga $100,000.





Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg