Empat menteri, termasuk Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dan Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, akan menyampaikan kenyataan menteri berkaitan penyewaan dua banglo di Ridout Road apabila Parlimen bersidang pada 3 Julai.
Menteri Kanan yang juga Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean, akan bercakap tentang semakan yang dijalankan ke atas penyewaan 26 dan 31 Ridout Road, sementara Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, akan menyentuh tentang penyewaan hartanah milik negara.
Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan akan menyampaikan kenyataan masing-masing berkenaan isu tersebut.
Encik Shanmugam menyewa unit 26 Ridout Road dan Dr Balakrishnan pula 31 Ridout Road.
Pada 28 Jun, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) menerbitkan dapatan siasatannya ke atas penyewaan dua banglo itu.
CPIB berkata ia tidak menemui sebarang bukti rasuah atau salah laku jenayah oleh Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan dalam hal tersebut.
Encik Teo juga telah mengeluarkan laporan siasatannya pada 28 Jun.
Beliau mengatakan kedua-dua menteri itu, pegawai awam dan pengantara sektor swasta yang terlibat telah menjalankan amanah masing-masing dengan betul.
Kenyataan menteri yang bakal disampaikan akan menjawab 23 soalan yang telah difailkan oleh Anggota Parlimen (AP), lapor The Straits Times.
Soalan mereka tertumpu pada cara dua hartanah itu diiklankan kepada bakal penyewa, keadilan dan ketelusan proses pembidaan, prosedur operasi penyewaan standard Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan apakah terma perjanjian pajakan sama dengan hartanah serupa.
Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang) bertanya bagaimana hartanah itu disewakan kepada dua menteri itu dan bagaimana SLA memasarkan kedua-dua hartanah itu untuk dipajak.
Encik Murali Pillai (Bukit Batok) bertanya apakah langkah yang diambil untuk memasarkan, menyewa dan memperbaharui penyewaan 26 dan 31 Ridout Road dan apakah langkah yang telah diambil untuk memastikan mana-mana pembida yang menyertai tender tidak diberikan sebarang kelebihan berbanding pembida lain.
Encik Sitoh Yih Pin (Potong Pasir) bertanya apakah prosedur penyewaan standard SLA, apakah SLA mengikuti prosedur tersebut dan apakah kadar sewa bagi hartanah tersebut.
Encik Don Wee (GRC Choa Chu Kang) bertanya berapa banyak hartanah serupa yang ada di Singapura pada masa ini, sama ada kadar sewa ditanda aras dengan pasaran kediaman privet dan apakah SLA mempunyai proses yang telus untuk menyenaraikan semua hartanah ini yang tersedia untuk disewa.
Ketua Pembangkang yang juga Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, bertanya bagaimana pemerintah akan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kedua-dua menteri itu tidak menerima sebarang maklumat istimewa tentang pajakan mereka, dan apakah panduan sewa yang ditetapkan oleh SLA bagi setiap hartanah ketika ia disewakan kepada dua menteri itu.
Encik Gerald Giam (GRC Aljunied) bertanya sama ada terdapat rancangan untuk membangunkan semula lebih banyak tanah yang kini menempatkan banglo kolonial hitam putih untuk kegunaan lebih produktif seperti perumahan awam, industri atau perdagangan.
Beliau juga bertanya sama ada proses bidaan banglo yang diuruskan oleh SLA diaudit oleh Pejabat Ketua Audit Negara setiap tahun dan jika tidak, bila audit terakhir dijalankan.
AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Leong Mun Wai bertanya mengapa Encik Teo ditugaskan menyemak penyewaan Encik Shanmugam dan Dr Balakrishnan dan bukan seseorang daripada cabang pemerintah lain, seperti Hakim Mahkamah Agung.
NCMP Hazel Poa pula bertanya mengapa bidaan sewa bagi 26 Ridout Road dibuat oleh ejen, sama ada SLA tahu Menteri Undang-Undang orang utama di sebalik bidaan itu dan jika ya, bagaimana dan bila SLA mengetahui perkara ini.
Selain itu, tiga Rang Undang-Undang akan diperkenal pada Isnin: Rang Undang-Undang Kemudahan Awam (Pindaan); Rang Undang-Undang Sumpah, Akuan dan Notaris (Kaedah Jauh); dan Rang Undang-Undang Perlembagaan Republik Singapura (Pindaan No. 2).
Cik Poa dan Encik Leong juga telah memfailkan usul menggesa pemansuhan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).
AP WP, Profesor Madya Jamus Lim (GRC Sengkang) dan Encik Muhamad Faisal Abdul Manap (Aljunied GRC), memfailkan usul merai pencapaian atlet dan para-atlet Singapura di Sukan Asia Tenggara ke-32 dan Sukan Para Asean ke-12 di Kemboja.
Mereka juga menyeru pemerintah supaya menjalankan penilaian menyeluruh terhadap penambahbaikan ekosistem sukan Singapura dan mempunyai komitmen untuk mencapai matlamat jelas dan boleh dicapai demi kejayaan sukan sepanjang dekad akan datang.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg