Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

4 warga S’pura diberkas selepas dadah bernilai lebih $1j dirampas

Berpotensi diguna 4,590 penagih dadah selama seminggu
Jan 6, 2025 | 5:35 PM
Dadah jenis heroin, ‘Ice’, ‘Ecstasy’, ‘Erimin-5’, ketamin dan ganja dirampas di kawasan Cassia Crescent di Geylang sewaktu operasi serbuan Biro Narkotik Pusat (CNB) yang dijalankan pada petang 4 Januari.
Dadah jenis heroin, ‘Ice’, ‘Ecstasy’, ‘Erimin-5’, ketamin dan ganja dirampas di kawasan Cassia Crescent di Geylang sewaktu operasi serbuan Biro Narkotik Pusat (CNB) yang dijalankan pada petang 4 Januari. - Foto CNB

Tiga lelaki dan seorang wanita telah diberkas pada 4 Januari 2025, setelah dadah bernilai sekitar lebih $1 juta dirampas dalam satu operasi serbuan Biro Narkotik Pusat (CNB). 

Jumlah dadah yang dirampas daripada empat warga Singapura itu berpotensi digunakan 4,590 penagih dadah selama seminggu. 

Pegawai CNB memberkas dua lelaki berusia 27 tahun dan 25 tahun di tempat letak kereta di kawasan Cassia Crescent di Geylang pada petang 4 Januari, menurut kenyataan CNB.

Suspek lelaki berusia 27 tahun didapati memiliki 1,855 gram heroin, 1,032 gram Ice, 98 gram Ecstasy dan 300 pil Erimin-5. Lelaki yang berusia 25 tahun pula didapati memiliki 136 gram Ice dan 21 gram ganja. 

Setelah pemberkasan dua lelaki tersebut, lelaki ketiga yang berusia 25 tahun cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap. Senjata yang digunakan lelaki itu turut dirampas.  

Berikutan itu, CNB kemudian menyerbu sebuah unit kediaman di Cassia Crescent dan merampas 73 gram Ice, 21 gram heroin, 20 pil Erimin-5 dan beberapa gram Ecstasy.

Seorang wanita berusia 25 tahun yang disyaki menagih dadah turut ditahan di dalam unit rumah tersebut. 

Sebuah kereta yang diletakkan dekat dengan lokasi pemberkasan suspek pertama telah diserbu kemudian.

Hasil penyerbuan tersebut, CNB merampas 11.8 kilogram ganja, 1,63 gram heroin, 923 gram Ice, 877 gram ketamin, 234 gram pil Ecstasy dan 1,200 pil Erimin-5

Menurut CNB, siasatan mengenai kegiatan dadah suspek yang ditahan sedang dijalankan. 

Pengarah Perisikan CNB, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Encik Aaron Tang berkata:

“Pengedar dadah tidak ambil peduli tentang ribuan nyawa yang boleh musnah hasil daripada dadah yang dijual mereka.

“CNB telah meningkatkan usaha kami untuk mencegah orang ramai daripada terjebak dalam dadah.

“Dadah membahayakan bukan sahaja penggunanya, malah keluarga mereka dan orang tersayang.

“Bagi sesiapa yang tidak mendengar amaran kami, CNB akan memburu mereka dan bawa mereka ke muka pengadilan.”

Menurut Seksyen 5 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang – bagi dirinya sendiri atau orang lain, sama ada orang itu berada di Singapura atau tidak – mengedar dadah atau menawarkan untuk mengedarkan dadah. 

Ia juga adalah satu kesalahan untuk seseorang melakukan sebarang kegiatan menyediakan untuk mengedar atau bagi tujuan pengedaran dadah. 

Sesiapa yang didapati bersalah mengedar lebih daripada 15 gram dadah heroin tulen, lebih daripada 25 gram methamphetamine ataupun lebih 500 gram ganja, boleh dikenakan hukuman mati.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg