Polis telah menyoal siasat lebih 1,800 individu dalam salah satu operasi antijenayah terbesar sejak pandemik Covid-19.
Lebih 600 individu daripada mereka yang disoal siasat itu telah diberkas setakat ini.
Serbuan kilat bagi membanteras jenayah itu termasuk kegiatan maksiat, perjudian haram, e-rokok (vape), memandu dalam keadaan mabuk, dadah dan menunggang peranti mobiliti peribadi (PMD) yang tidak mematuhi peraturan.
Menurut The Straits Times (ST), operasi dari 16 November hingga 16 Disember itu melibatkan lebih 2,600 pegawai dan sekitar 13,200 individu diperiksa.
Lebih 1,180 operasi dijalankan yang membawa kepada siasatan ke atas 1,873 individu, berumur antara 15 hingga 85 tahun. Mereka terdiri daripada 1,257 lelaki dan 616 wanita.
Sekurang-kurangnya 610 individu telah diberkas setakat ini.
Operasi itu disertai pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Penguasa Sains Kesihatan (HSA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Kastam Singapura, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA).
Dari 20 hingga 23 November, sejumlah 25 wanita dan tiga lelaki ditahan dalam pemeriksaan di beberapa pusat urut, hotel dan pusat hiburan awam di kawasan Balestier, Thomson Road, Robertson Quay, Selegie Road, Orchard Road dan Whampoa.
Pada 22 November, operasi di Jalan Papan dekat Pioneer menyaksikan 15 lelaki ditangkap kerana e-rokok dan 17 lelaki didapati memiliki rokok tanpa cukai.
Dalam operasi di pusat urut, pusat hiburan, kediaman persendirian dan hotel di Chinatown, Little India, Boat Quay dan Bugis, dari 25 hingga 30 November, polis telah menahan 54 lelaki dan 140 wanita atas pelbagai kesalahan termasuk melakukan kegiatan maksiat.
Dari 30 November hingga 12 Disember, seramai 15 lelaki dan 22 wanita ditahan di Geylang atas pelbagai kesalahan termasuk perjudian haram dan maksiat.
Pada 14 Disember pula, polis menumpaskan operasi perjudian haram di Yishun dengan menahan lima lelaki dan tiga wanita serta merampas wang tunai lebih $15,300 dan 12 komputer.
Pengarah Jabatan Operasi Polis, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Gregory Tan, berkata pihak berkuasa mahu menyampaikan pesanan yang jelas menerusi usaha antijenayah yang berterusan semasa musim perayaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg