40 anggota jemaah umrah Halijah Travels tidak dapat berangkat dari S’pura
40 anggota jemaah umrah Halijah Travels tidak dapat berangkat dari S’pura
Terjejas ekoran pembatalan penerbangan Scoot susulan konflik Timur Tengah, usaha atur perjalanan alternatif tidak berjaya
Seramai 40 anggota jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah Ramadan di Makkah dan Madinah gagal berangkat dari Lapangan Terbang Changi pada 3 Mac selepas penerbangan mereka dibatalkan disebabkan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah.
Rombongan jemaah itu telah menempah pakej umrah dengan Halijah Travels Pte Ltd untuk perjalanan ke Arab Saudi, antara 3 dengan 22 Mac, yang merangkumi penginapan serta penerbangan Scoot.
Walau bagaimanapun, penerbangan mereka dibatalkan sejak konflik bermula dan percubaan untuk mendapatkan pengaturan perjalanan alternatif tidak berjaya, kata Halijah Travels.
Bercakap kepada Berita Harian (BH) pada 3 Mac, Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, berkata beliau kini terpaksa membatalkan semua tempahan penginapan dan sedang berbincang dengan pihak hotel di Arab Saudi untuk mendapatkan bayaran balik.
“Saya telah cuba untuk mendapatkan Saudi Airlines (Saudia) kerana penerbangan tersebut dapat terbang langsung ke Jeddah, tetapi mereka tidak ada ruang kosong untuk rombongan kami.
“Saya tidak mahu penerbangan lain kerana belum pasti mereka terkecuali daripada sekatan udara di kawasan Timur Tengah,” kata Encik Haffidz.
Encik Haffidz telah cuba mendapatkan penerbangan alternatif setelah syarikat penerbangan Scoot membatalkan penerbangan mereka – TR596 (Singapura ke Jeddah) – yang sepatutnya bertolak pada 3 Mac.
Pada 1 Mac, Singapore Airlines (SIA) dan Scoot mengumumkan pembatalan penerbangan menuju ke dan dari Timur Tengah sehingga 7 Mac selepas menilai keadaan geopolitik di kawasan itu.
Sebanyak 26 penerbangan SIA dan Scoot, antara 28 Februari dengan 7 Mac, dibatalkan, susulan gelombang serangan terhadap sasaran di Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Dua penerbangan Scoot – TR596 (Singapura ke Jeddah) dan TR597 (Jeddah ke Singapura) – turut dibatalkan pada 28 Februari, 2, 3, 5 dan 7 Mac.
Sebelum ini, apabila dihubungi pada 1 Mac, Encik Haffidz berkata Scoot telah memaklumkan kepadanya mereka akan memulangkan bayaran penerbangan yang telah ditempah.
Pakej umrah kendalian Halijah Travels itu sepatutnya berlangsung selama 20 hari dari 3 Mac hingga 22 Mac.
Setiap jemaah telah membuat pembayaran antara $6,430 dengan $8,420, bergantung kepada jumlah orang di dalam satu bilik.
Jemaah juga sepatutnya menginap di Makkah Hotel & Towers di Makkah selama enam hari sebelum berangkat ke Hotel Dar Al Eiman Al Haram di Madinah selama 12 hari buat program seterusnya.
Namun, dengan pembatalan itu, Encik Haffidz berkata pihaknya sedang memantau keadaan di Timur Tengah dahulu sebelum membuat keputusan dan mengambil langkah selanjutnya.
“Kami juga sedang memantau penerbangan dan tempat penginapan alternatif sekiranya kami dapat terbang pada hari lain,” tambah Encik Haffidz.
Meskipun program itu dibatalkan, Encik Haffidz berkata sebuah pakej umrah privet lain seramai 15 anggota jemaah, kendalian Halijah Travels, tidak terjejas dan masih dijadual berangkat pada 5 Mac kerana mereka akan menaiki penerbangan Saudia.
“
“Saya telah cuba untuk mendapatkan Saudi Airlines (Saudia) kerana penerbangan tersebut dapat terbang langsung ke Jeddah, tetapi mereka tidak ada ruang kosong untuk rombongan kami.”
