Beberapa GSA bimbang tentang jemaah umrah, satu kumpulan terjejas keberangkatan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa GSA bimbang tentang jemaah umrah, satu kumpulan terjejas keberangkatan

Halijah Travels usaha cari alternatif terbangkan jemaahnya pada 3 Mac selepas Scoot batalkan penerbangan ekoran serangan tindak balas Iran ke Timur Tengah
Mar 1, 2026 | 8:29 PM

Beberapa GSA bimbang tentang jemaah umrah, satu kumpulan terjejas keberangkatan

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Program Umrah kendalian Halijah Travel kini di ambang ketidaktentuan setelah Singapore Airlines (SIA) dan Scoot mengumumkan pada 1 Mac bahawa mereka akan membatalkan penerbangan ke dan dari Timur Tengah sehingga 7 Mac, selepas menilai situasi geopolitik di Timur Tengah.
Program Umrah kendalian Halijah Travel kini di ambang ketidaktentuan setelah Singapore Airlines (SIA) dan Scoot mengumumkan pada 1 Mac bahawa mereka akan membatalkan penerbangan ke dan dari Timur Tengah sehingga 7 Mac, selepas menilai situasi geopolitik di Timur Tengah. - Foto AFP

Penutupan ruang udara di seluruh Timur Tengah serta pembatalan beberapa penerbangan oleh Singapore Airlines (SIA) dan Scoot hingga 7 Mac ke rantau itu telah menimbulkan kebimbangan beberapa ejen pelancongan atau ejen penjualan (GSA), dengan sekurang-kurangnya satu GSA terjejas keberangkatan jemaahnya untuk ke umrah.

Beberapa GSA yang dihubungi Berita Harian (BH) pada 1 Mac, berkata mereka sedang meneliti perkembangan terkini dan berhubung rapat dengan jemaah yang telah menempah pakej umrah bersama mereka untuk menunaikan ibadah akhir Ramadan ini.

Namun bagi Halijah Travels, kumpulan jemaah mereka yang dijadualkan berangkat pada 3 Mac, kini berdepan dengan ketidaktentuan setelah Scoot memaklumkan bahawa penerbangan mereka ke Jeddah, Arab Saudi untuk 40 jemaah itu sudah dibatalkan.

“Scoot memaklumkan kepada kami hari ini bahawa mereka akan memulangkan bayaran penerbangan yang telah kami tempah.

“Tapi masalahnya sekarang, kami masih perlu menempah penerbangan alternatif untuk ke Jeddah kerana penginapan dan persiapan untuk umrah telah ditempah.

“Jadi, kami sedang mencari penerbangan lain, dan berharap jemaah kami dapat teruskan menunaikan umrah, InsyaAllah,” kata Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid.

Pada 1 Mac, SIA dan Scoot mengumumkan pembatalan penerbangan ke dan dari Timur Tengah sehingga 7 Mac selepas menilai situasi geopolitik di Timur Tengah.

Sebanyak 26 penerbangan SIA dan Scoot antara 28 Februari dengan 7 Mac telah dibatalkan susulan gelombang serangan terhadap sasaran di Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel.

Dua penerbangan Scoot – TR596 (Singapura ke Jeddah) dan TR597 (Jeddah ke Singapura) – juga telah dibatalkan pada 28 Februari, 2, 3, 5 dan 7 Mac, tambah syarikat penerbangan nasional itu.

Mengulas tentang pembatalan itu, Encik Haffidz berkata beliau tidak faham mengapa SIA dan Scoot terpaksa membatalkan penerbangan hingga 7 Mac, sedangkan penerbangan lain seperti Emirates dan Etihad hanya membatalkan hingga 2 Mac.

“Penerbangan Saudia pun tidak dibatalkan dari Singapura ke Jeddah. Jadi saya tak faham mengapa SIA dan Scoot perlu membatalkan,” tambahnya.

Walaupun demikian, Encik Haffidz berkata syarikatnya telah berhubung rapat dengan jemaah setelah krisis di Timur Tengah itu bermula dan akan terus memberikan bantuan dan kemas kini kepada mereka.

Pada 1 Mac, ribuan jemaah umrah menghadapi gangguan perjalanan yang teruk susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, yang mencetuskan penutupan ruang udara yang meluas di seluruh Timur Tengah.

Syarikat penerbangan utama yang lain telah membatalkan, menggantung atau mengubah laluan penerbangan, menyebabkan jemaah terkandas di hab transit utama di Doha, Dubai dan Bahrain.

Dalam pada itu, beberapa GSA lain berkata meskipun tidak terjejas jadual penerbangan, mereka sedang berwaspada dan memantau keadaan.

Golongan ini tidak terjejas kerana menempah penerbangan Saudia, yang menerbangkan jemaah secara langsung ke Jeddah manakala ada yang tarikh keberangkatan adalah selepas 7 Mac.

Pengarah TM Fouzy Travel and Tours, Ustazah Tengku Madihah Fathiyyatul Fauziyyah Tengku Mohamad Fouzy berkata syarikatnya bakal membawa 40 jemaah ke Jeddah pada 7 Mac menerusi penerbangan Saudia.

“Meskipun demikian, kami sedang menantikan berita lanjut dari pihak penerbangan Saudia. Kami akan mengutamakan keselamatan dan ikuti perkembangan semasa,” tambahnya.

Pengarah urusan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia juga berkata kumpulan umrah seramai 20 jemaah yang bakal bertolak pada 10 Mac tidak terjejas kerana syarikatnya telah menempah penerbangan Saudia.

Namun begitu, beliau berkata syarikatnya akan terus meneliti keadaan dan mengikut arahan dari Kementerian Ehwal Luar (MFA) sekiranya terdapat sebarang perubahan.

Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, pula berkata buat masa ini agak terlalu awal untuk syarikatnya mengenal pasti sama ada jemaahnya akan terjejas.

Ini kerana kumpulan jemaahnya hanya bertolak pada 10 Mac dan masih banyak perkara yang boleh berlaku sehingga tarikh tersebut.

“Kita perlu lihat dan tunggu dalam beberapa hari yang akan datang. Bagi syarikat Noor Mohamad Services & Travel, insya-Allah kami akan berlepas dari 10 Mac hingga 23 Mac dan menaiki pesawat langsung ke Jeddah bersama Saudia,” tambahnya.

“Scoot memaklumkan kepada kami hari ini bahawa mereka akan memulangkan bayaran penerbangan yang telah kami tempah. “Tapi masalahnya sekarang, kami masih perlu menempah penerbangan alternatif untuk ke Jeddah kerana penginapan dan persiapan untuk umrah telah ditempah. Jadi, kami sedang mencari penerbangan lain, dan berharap jemaah kami dapat teruskan menunaikan umrah, InsyaAllah.”
Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg