Sekitar 40 penduduk dipindahkan selepas satu kebakaran berlaku di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Keat Hong pada Jumaat.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata dalam satu kenyataan bahawa ia menerima panggilan mengenai kejadian di Blok 803 Keat Hong Close itu pada 10 pagi.
Dapur flat di tingkat empat itu terbakar dan anggota bomba dari Balai Bomba Clementi dan Bukit Batok memadamkan api menggunakan dua jet air.
Haba dan jelaga kebakaran itu turut merosakkan beberapa ruang lain flat tersebut.
Dua orang telah meninggalkan flat tersebut sebelum anggota bomba tiba di tempat kejadian.
Seramai 40 penduduk dari flat berdekatan turut dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Seorang individu, dipercayai penghuni flat tersebut, diperiksa oleh seorang paramedik SCDF kerana didapati telah terhidu asap, namun beliau menolak untuk dihantar ke hospital.
SCDF berkata punca kebakaran itu sedang disiasat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg