Hampir 40,000 tempat penjagaan bayi dan penjagaan kanak-kanak baru bakal disediakan oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) dan lima pengendali utama, dari 2025 hingga 2029.
Ini termasuk kira-kira 6,000 tempat penjagaan bayi yang baru untuk menampung permintaan yang meningkat.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad mengumumkan demikian pada Sambutan Awal Kanak-Kanak di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands pada 2 November.
Encik Masagos menambah bahawa untuk memudahkan permohonan subsidi prasekolah, ibu bapa akan dapat memohon subsidi terus kepada Ecda dalam talian, melalui aplikasi LifeSG.
Proses baru ini akan dilancarkan secara berperingkat mulai 9 Disember.
Semasa Belanjawan 2024, telah diumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, yuran penjagaan kanak-kanak sehari penuh di pengendali utama dan rakan kongsi akan masing-masing dikurangkan sebanyak $40 kepada $640 dan $680 sebulan (tidak termasuk cukai barangan dan perkhidmatan) sebulan, lapor The Straits Times (ST).
Mulai 9 Disember, semua keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah kasar bulanan $6,000 dan ke bawah akan layak menerima jumlah maksimum subsidi penjagaan kanak-kanak bagi peringkat pendapatan mereka.
Ini bermakna ibu bapa boleh menjangkakan untuk membayar $3 hingga $115, atau sehingga dua peratus daripada pendapatan mereka, bagi penjagaan kanak-kanak di pengendali utama, dengan pengurangan selanjutnya pada 2025.
Ini akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 kanak-kanak.
Untuk memberikan autonomi dan pemilikan yang lebih besar kepada prasekolah dalam membangunkan dan menyediakan program berkualiti, Rangka Kerja Pentauliahan Prasekolah Singapura yang disemak semula, atau Spark 2.0, akan dilaksanakan mulai Januari 2025.
Peralihan ini bertujuan menggalakkan prasekolah untuk membangunkan program yang disesuaikan kepada keperluan kanak-kanak dan mengikut kekuatan unik prasekolah itu.
Spark telah diperkenalkan pada 2011 sebagai rangka kerja untuk meningkatkan kualiti sektor ini.
Pada masa ini, kira-kira 1,000, atau 60 peratus prasekolah, mendapat pensijilan Spark, peningkatan besar berbanding semasa ia mula-mula dilaksanakan.
Spark 2.0 membolehkan prasekolah menilai kualiti mereka mengikut piawaian dan petunjuk yang ditetapkan dalam panduan Spark baru sebelum mendapatkan pengesahan Ecda.
Daripada menyatakan perkara yang perlu dilakukan oleh prasekolah, piawaian dan petunjuk berkualiti mendorong prasekolah untuk memikirkan hasrat serta reka bentuk program dan aktiviti mereka berhubung dengan matlamat yang diinginkan, serta profil dan keperluan kanak-kanak.
“Tiga ciri mentakrifkan Spark 2.0 – tumpuan yang lebih tajam pada pengajaran dan pembelajaran, lebih fleksibiliti bagi prasekolah untuk membangunkan program mereka sendiri, dan autonomi yang lebih besar dalam perjalanan berkualiti mereka,” kata Encik Masagos.
Cik Siti Daliana, pengetua pusat My First Skool di Bedok North, telah mengambil bahagian dalam ujian perintis untuk Spark 2.0 pada September 2024.
Beliau memberitahu ST bahawa rangka kerja yang disemak itu memperkasakan prasekolah untuk menerima pakai pendekatan strategik dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti.
Kod Etika, yang pertama kali dilancarkan pada 2004, juga telah dikemas kini oleh Persatuan Pendidik Awal Kanak-Kanak (Singapura), atau AECES, dengan kerjasama ECDA, untuk membimbing para pendidik.
Dr Christine Chen, presiden AECES, memberitahu ST bahawa kod itu telah disemak beberapa kali pada masa lalu untuk mengikuti perubahan dalam sektor awal kanak-kanak.
Baru-baru ini, terdapat lebih langkah ini untuk meningkatkan kesejahteraan dan keadaan kerja para pendidik.
Sebagai contoh, ECDA telah menarik balik keperluan bagi pusat jagaan kanak-kanak beroperasi pada Sabtu mulai 2025. Ia juga meningkatkan kumpulan kakitangan bantuan menjelang akhir 2024 untuk membantu semua prasekolah memenuhi keperluan tenaga kerja mereka pada kos pengambilan pekerja yang berpatutan, sambil memastikan piawai perkhidmatan yang boleh dipercayai.
Pada acara 2 November itu, seramai 27 pendidik awal kanak-kanak, pusat dan profesional intervensi awal, telah diberi penghormatan atas sumbangan mereka ke arah meningkatkan kualiti dan inklusiviti pendidikan awal kanak-kanak.
Secara keseluruhan, 161 prasekolah turut diiktiraf kerana meraih pensijilan Spark.
“
“Tiga ciri mentakrifkan Spark 2.0 – tumpuan yang lebih tajam pada pengajaran dan pembelajaran, lebih fleksibiliti bagi prasekolah untuk membangunkan program mereka sendiri, dan autonomi yang lebih besar dalam perjalanan berkualiti mereka.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg