Bilangan guru prasekolah lelaki dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak (EC) telah meningkat sejak beberapa tahun lalu, mengatasi pertumbuhan keseluruhan sektor tersebut.
Bilangan pendidik lelaki dalam sektor EC meningkat daripada 206 kakitangan pada 2022 kepada 245 kakitangan pada 2023, kata Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda) semasa menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).
Dalam tempoh yang sama, agensi tersebut menambah bahawa jumlah tenaga kerja dalam sektor tersebut telah meningkat daripada 24,600 kakitangan kepada 25,700 kakitangan.
“Guru prasekolah memainkan peranan penting dalam memacu mutu penjagaan dan pendidikan bagi kanak-kanak kecil. Bilangan pendidik EC telah meningkat seganda daripada 12,000 kepada lebih 24,000 sepanjang 10 tahun lalu dan kita akan memerlukan sekurang-kurangnya 1,500 lagi menjelang 2025,” kata Ecda dalam jawapannya kepada BH.
Secara berasingan, Ecda berkata guru pendidikan awal kanak-kanak akan mendapat lebih bantuan bagi mengimbangi kerja serta kehidupan peribadi mereka menjelang akhir 2024, sedang ia menambah jumlah kakitangan penggantinya.
Satu kenyataan media agensi tersebut pada 29 Ogos berkata:
“Langkah sedemikian bertujuan untuk membantu semua tadika memenuhi keperluan tenaga kerja mereka pada kos pengambilan yang munasabah, sambil memastikan piawai perkhidmatan yang boleh dipercayai.”
Agensi tersebut juga menambah penyedia perkhidmatan yang dipilih akan dilantik secara rasmi dan keputusan tersebut akan dimaklumkan kepada sektor pendidikan awal kanak-kanak menjelang akhir 2024.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pertama kali mengumumkan inisiatif tersebut pada Oktober 2022 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperbaiki taraf kerja para pendidik.
Inisiatif lain yang dilaksanakan sebelum ini termasuk menjadikan Hari Guru dan Hari Kanak-Kanak cuti bagi prasekolah mulai 2024, serta meniadakan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak pada setiap Sabtu mulai 2025.
Kesemua 1,900 tadika berlesen akan dapat memanfaatkan kumpulan kakitangan bantuan ini, kata Ecda semasa sambutan Hari Guru di M.Y World @ Dawson pada 29 Ogos. Maklumat lanjut mengenai saiz kumpulan ini akan diumumkan pada tarikh terdekat.
Majlis tersebut dihadiri oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua, bersama 32 guru prasekolah, kanak-kanak prasekolah serta ibu bapa mereka.
Tuan Presiden berkongsi bagaimana guru prasekolah dan ibu bapa memainkan peranan penting pada peringkat utama perkembangan kanak-kanak.
“Mereka akan membantu memastikan anak-anak kita membesar sebagai individu yang seimbang, berkeyakinan dan yang paling penting, menghargai sumbangan yang kita berikan antara satu sama lain,” ujar beliau.
Ternyata, dengan permintaan bagi guru prasekolah semakin meningkat dan kompleks, pemerintah telah meningkatkan gaji guru prasekolah agar selaras dengan sumbangan dan kemahiran profesional mereka.
Menurut Ecda, dalam usaha mencungkil dan mengekalkan bakat bagi menyokong pertumbuhan sektor tersebut, gaji guru dan pemimpin di prasekolah dan sekolah tadika Skim Pengendali Utama (AOP) telah meningkat secara purata sebanyak 20 hingga 30 peratus sejak 2018.
Gaji guru prasekolah juga akan dikaji secara berkala dan jika perlu diselaraskan mengikut perkembangan pasaran, tambah Ecda.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg