Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

44 dibawa ke hospital selepas nahas bas di Jurong West; LTA sedang menyiasat

Dec 14, 2025 | 6:11 PM
nahas bas, jurong west avenue 1
Dua bas dua tingkat terlibat dalam satu kemalangan jalan raya berhampiran Blok 425, Jurong West Avenue 1 pada pagi 14 Disember. - Foto ST

Seramai 44 orang dikejarkan ke hospital selepas satu kemalangan melibatkan dua bas dua tingkat di Jurong West pada 14 Disember.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kemalangan itu sejurus sebelum 11 pagi.

Setibanya di tempat kejadian, SCDF berkata pasukan penyelamat mendapati seorang individu terperangkap di tempat duduk pemandu sebuah bas dan beliau berjaya diselamatkan menggunakan peralatan penyelamat hidraulik.

Seramai 42 penumpang dan dua pemandu bas dibawa ke hospital, kata pihak berkuasa.

Polis berkata seorang pemandu bas berusia 49 tahun sedang membantu siasatan.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) berkata bas khidmat nombor 98 kendalian Tower Transit telah melanggar bahagian belakang bas khidmat nombor 99 kendalian SBS Transit yang tidak bergerak pada 10.54 pagi di Jurong West Avenue 1.

LTA berkata mereka yang cedera telah dibawa ke hospital dan sedang menerima rawatan perubatan, sambil menambah pihaknya bersama kededua pengendali pengangkutan sedang menyiasat kemalangan itu.

Dalam satu kenyataan, LTA berkata: “Kami ingin memohon maaf atas kecederaan dan kebimbangan yang disebabkan oleh kemalangan ini.”

Di tempat kejadian sekitar 12.30 tengah hari pada 14 Disember, beberapa mangsa dilihat menerima rawatan di sebuah tempat perlindungan berhampiran blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Seorang individu pula dilihat diusung ke dalam ambulans, lapor akhbar The Straits Times (ST).

Seorang saksi berusia 63 tahun yang hanya memberikan namanya sebagai Cik Gao berkata beliau melihat tiga penumpang sedang diberi rawatan sekitar 11.30 pagi, dengan dua daripadanya terbaring di kawasan rumput.

Cik Rosie Lian, 71 tahun, yang berada di sebuah kedai kopi berhampiran semasa kemalangan berlaku, berkata beliau terdengar bunyi kuat dan melihat ramai yang cedera, termasuk seorang wanita warga emas yang hidungnya berdarah.

Seorang lagi penduduk, Madam Peh Li, 72 tahun, berkata beliau melihat seorang lelaki warga emas berdarah dari mulut, serta sebuah keluarga empat orang dengan luka pada muka dan kaki.

Foto selepas kemalangan menunjukkan bahagian depan salah sebuah bas rosak teruk, manakala kaca bahagian belakang bas yang satu lagi turut pecah.

Beberapa kenderaan polis, ambulans, SCDF dan trak tunda turut dilihat di tempat kejadian.

Pada 12.18 tengah hari, Tower Transit berkata dalam satu catatan Facebook pihaknya maklum mengenai satu insiden melibatkan bas perkhidmatan 98.

Ia berkata penumpang terjejas sedang menerima rawatan perubatan jika ia diperlukan dan menekankan komitmen syarikat itu untuk menhaga keselamatan dan kebajikan mereka yang terlibat.

Penumpang kededua bas itu yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Tower Transit menerusi talian 1800-248-0950 atau mengirimkan e-mel kepada feedback@towertransit.com.sg.

Penumpang juga boleh menghubungi SBS Transit di talian 1800-287-2727 atau menghantar e-mel kepada customercare@sbstransit.com.sg

Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak, berkata mereka yang terjejas dan memerlukan bantuan juga boleh menghubungi beliau menerusi e-mel di hamid.razak@pap.org.sg.

“Insiden seperti ini boleh memberi tekanan walapun jika kecederaan yang dialami tidak terus,” ujar beliau, menulis di Facebook.

Penolong Setiausaha Agung  Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Setiausaha Eksekutif Kesatuan Sekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU), Cik Yeo Wan Ling, berkata kesatuan itu sedang bekerjasama rapat dengan kededua syarikat bas dan pihak berkuasa.

Ia juga telah menghubungi anggota yang terlibat untuk memberi sokongan, kata beliau lagi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg