Seorang lelaki berusia 39 tahun yang sedang berbasikal, maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas pada pagi 29 November.
Polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu di Admiralty Drive menghala ke Sembawang Road sekitar 10.55 pagi.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), lelaki tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Pemandu bas berusia 41 tahun kini membantu siasatan polis, lapor The Straits Times.
Menjawab pertanyaan media, jurucakap Tower Transit mengatakan bahawa kemalangan itu melibatkan perkhidmatan bas 859.
“Kami amat berdukacita dengan pemergian lelaki itu. Takziah kami ucapkan kepada keluarganya melalui waktu yang sukar ini.”
Jurucakap tersebut menambah Tower Transit sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Berdasarkan maklumat awal, bas tersebut sedang bergerak di Admiralty Drive apabila lelaki itu yang sedang berbasikal, melintas jalan lalu memasuki laluan bas.
Bas berkenaan tidak sempat berhenti, menyebabkan perlanggaran berlaku, kata jurucakap itu sambil menambah siasatan pihak berkuasa akan mengambil kira keseluruhan keadaan semasa kejadian itu berlaku.
“Memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis, kami tidak dapat berkongsi butiran lanjut pada masa ini.
“Keselamatan semua pengguna jalan raya dan para penumpang kami tetap menjadi keutamaan kami,” tambah jurucakap Tower Transit.
Seorang penduduk yang tinggal berhampiran lokasi kejadian, berkata mangsa terperangkap di bawah tayar bas selepas dilanggar, menurut akhbar bahasa Cina setempat Shin Min Daily News.
Cermin hadapan bas turut retak dan kesan darah dilihat pada permukaan jalan.
Lebih 20 penumpang berada di dalam bas ketika kejadian, namun tiada seorang pun yang cedera.
Menurut statistik tahunan trafik yang dikeluarkan polis pada Julai 2025, bilangan penunggang basikal yang cedera di jalan raya meningkat daripada 572 pada 2023 kepada 605 pada 2024.
Angka tersebut termasuk penunggang yang menggunakan basikal guna kuasa (PAB) dan pembonceng basikal.
Jumlah kemalangan maut, bagaimanapun, menunjukkan sedikit penurunan daripada 14 pada 2023 kepada 12 pada 2024.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg