Lebih 44,000 peserta, termasuk rekod 8,000 peserta dari lebih 70 negara, menyertai Maraton Standard Chartered Singapura (SCSM) 2023 yang berlangsung dari 1 hingga 3 Disember.
Bilangan peserta antarabangsa itu adalah yang tertinggi dalam sejarah maraton tersebut.
Pelari maraton Singapura, Soh Rui Yong, memenangi gelaran lelaki tempatan terpantas – selepas empat tahun terpisah daripada gelaran itu – apabila beliau menduduki tempat pertama dalam perlumbaan Kejohanan Nasional bagi kategori lelaki. Ini kali keempat beliau meraih gelaran itu.
Soh, 32 tahun dan johan perlumbaan itu dari 2017 dengan 2019, menyentuh tali garisan penamat di Stadium Negara dalam masa 2:40:34. Beliau memenangi hadiah $10,000.
Turut membawa pulang hadiah itu dalam kategori wanita ialah pelari Rachel See, yang mengakhiri perlumbaan dalam masa 3:05:51.
Rekod terpantas acara hujung minggu dicapai David Barmasai Tumo, 34 tahun, dari Kenya, dengan masa 2:14:15 dalam perlumbaan Maraton Elit Label Emas, sekali gus mempertahankan rekodnya sejak 2002 dan memenangi $40,000.
Bagi kategori wanita, johan, yang juga membawa pulang hadiah $40,000, ialah Rose Chelimo, 34 tahun. Beliau juara Sukan Asia 2018 dan Kejohanan Sedunia IAAF pada 2017.
Pelari asal Kenya itu mewakili Bahrain sejak 2015 . Beliau menamatkan lariannya dalam masa 2:18:37.
Dalam kenyataannya, kumpulan The Ironman Group berkata jarak keseluruhan yang dicatat bagi semua kategori perlumbaan ialah 768,800 kilometer, persis jarak perjalanan ulang alik dari bumi ke bulan.
Selain lumba maraton dan separuh maraton, ia juga menyediakan beberapa siri perlumbaan jarak lebih dekat, termasuk 10 kilometer, lima kilometer dan perlumbaan kanak-kanak.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg