Topik diikuti
Pergi ke BHku4,500 belia pendapatan rendah boleh tebus minuman berprotein di Cheers
4,500 belia pendapatan rendah boleh tebus minuman berprotein di Cheers
4,500 belia pendapatan rendah boleh tebus minuman berprotein di Cheers
Seramai 4,500 belia berusia antara 12 dengan 18 tahun bakal menerima kupon untuk menebus minuman berprotein di cawangan Cheers terpilih mulai 31 Julai hingga 31 Ogos.
Program tersebut bertujuan menangani keperluan pemakanan golongan rentan di Singapura.
Ia juga merupakan sebahagian daripada komitmen lebih luas dan berterusan Yayasan FairPrice untuk memperkasa masyarakat menerusi pemakanan serta akses kepada barangan keperluan harian, menurut FairPrice Group dalam satu kenyataan media pada 30 Julai.
Kumpulan belia yang bakal mendapat manfaat daripada program ini berasal daripada keluarga berpendapatan rendah yang dikenal pasti menerusi kerjasama dengan badan bantu diri tempatan.
Ini termasuk Yayasan Mendaki, Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC), Persatuan Serani (EA) dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda).
Sebanyak 44 cawangan Cheers di serata Singapura akan terlibat dalam program rintis berkenaan.
Pengurus Besar Yayasan FairPrice, Cik Jean Khong, berkata pertubuhan itu berharap “setiap belia di Singapura mendapat pemakanan yang mencukupi untuk membesar (dengan sihat) dan berjaya”.
Pengurus Besar Cheers, Cik Karen Ong, pula berkata rangkaian kedai serbaneka di bawah Kumpulan FairPrice itu turut berhasrat “memudahkan belia mendapatkan suntikan tenaga yang pantas dan sihat berdekatan kediaman masing-masing agar mereka dapat meraih kecemerlangan di dalam mahupun di luar bilik darjah”.
Seorang pelajar Menengah 1, Pakkirisamy Inbasri, berkata rutin mengambil sarapan sihat dan minuman berprotein sebelum memulakan kelas dapat membantunya kekal bertenaga serta dapat fokus semasa sesi pembelajaran.
“Saya amat berterima kasih atas sokongan ini yang membantu saya mengekalkan rutin (harian) saya,” katanya.
Seorang lagi pelajar Menengah 1, Chua Jing Yi, berkata minuman tersebut merupakan satu “cara terbaik untuk memulihkan tenaga” dalam perjalanan pulang ke rumah selepas sesi latihan kegiatan kokurikulum (CCA) yang intensif.
“Dengan adanya cawangan Cheers berhampiran rumah saya, ia amat mudah untuk saya mengambil minuman berprotein percuma sejurus selesai (CCA),” katanya.
Selain itu, FairPrice Group menambah bahawa program Cheers Breakfast Club, yang mengagihkan lebih 12,000 pek sarapan kepada pelajar Darjah 6 menjelang Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE), bakal kembali untuk tahun ketiga berturut-turut pada September ini.