Sekitar 4,500 pekerja akan menerima kenaikan gaji purata sebanyak 5 peratus melebihi kadar kenaikan tahunan biasa mereka, melalui skim geran Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) di bawah kelolaan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).
Kumpulan pekerja itu adalah sebahagian daripada 6,000 kakitangan – termasuk karyawan, pengurus, eksekutif dan kakitangan sokongan – di sekitar 260 syarikat yang menerima geran CTC, dan berpeluang menikmati kenaikan gaji atau laluan kerjaya berstruktur di bawah Pelan Pembangunan Kerjaya (CDP).
Geran CTC menyokong syarikat yang sedang menjalani transformasi untuk meningkatkan produktiviti, menambah baik prospek kerjaya kakitangan, atau mereka semula pekerjaan, melalui pembiayaan bersama sehingga 70 peratus daripada kos berkaitan, kata NTUC pada 6 November.
Syarikat boleh memilih untuk menggunakan pembiayaan daripada geran tersebut untuk menampung kos perkhidmatan perundingan, atau latihan, yang diadakan di dalam atau di luar tempat kerja, atau yang berkaitan dengan penggunaan peralatan khusus.
Sejak skim itu diperkenalkan pada 2019, NTUC telah membentuk lebih 2,700 CTC, melepasi sasarannya untuk membentuk sebanyak 2,500 CTC menjelang 2025, lapor The Straits Times.
“Tiga daripada empat (pekerja) akan menikmati gaji yang lebih tinggi dengan peningkatan produktiviti, manakala yang lainnya boleh menjangkakan prospek pekerjaan (akan datang) yang lebih baik,” kata Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, semasa lawatan ke Raffles Hotel Singapore pada 6 November.
Syarat kelayakan untuk menerima geran tersebut adalah syarikat perlu memperuntukkan elaun kemahiran kepada pekerja sekali sahaja, atau berulang, sebagai pengiktirafan terhadap usaha pekerja dalam meningkatkan kemahiran mereka.
NTUC tidak memperincikan jumlah elaun tersebut, tetapi berkata jumlah dan kekerapannya akan ditentukan mengikut situasi dan disesuaikan dengan jenis projek.
Sebagai contoh, syarikat boleh memperuntukkan elaun kemahiran berulang kepada pekerja yang peranan pekerjaan mereka akan diubah.
Sebaliknya, elaun kemahiran boleh diperuntukkan sekali sahaja untuk pekerja yang peranan mereka tidak diubah, tetapi perlu menjalani peningkatan kemahiran bagi menyokong pelaksanaan projek transformasi di tempat kerja.
Raffles Hotel Singapore, yang telah memohon Geran CTC, sedang dalam proses menggantikan sistem pembelian dan pengurusan inventori yang sebelum ini menggunakan kertas, kepada sistem berasaskan awan, atau cloud-based.
Sistem pembelian dan pengurusan inventori barunya itu akan mengurangkan kerja manual dan meningkatkan produktiviti.
Sebagai contoh, untuk membeli bahan makanan dan minuman yang diperlukan restoran Butcher’s Block di Raffles Hotel, pihak pembekal boleh menerima pesanan dan memuat naik invois ke dalam sistem baru itu serta-merta.
Hampir 100 kakitangannya akan menjalani latihan untuk menggunakan sistem baru yang bakal dikuatkuasakan pada 2025.
“Di hotel, kami boleh menerima notifikasi secara langsung, daripada pembekal dan membuat pembayaran tanpa menggunakan dokumen fizikal,” kata pengurus pembelian Raffles Hotel Singapore, Encik Terence Lim.
Hotel itu akan mempunyai lebih banyak masa untuk melatih pekerja dan meningkatkan keupayaan kerja dan kemahiran lain mereka, tambah Encik Lim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg