Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 ditahan beli, jual akaun Worldcoin milik orang lain

Aug 7, 2024 | 5:16 PM
Worldcoin melibatkan pengguna merenung bebola perak dan membolehkan bahagian mata yang berwarna atau ‘iris’ mereka melalui pengimbasan sebagai pertukaran untuk ID digital dan token percuma.
Worldcoin melibatkan pengguna merenung bebola perak dan membolehkan bahagian mata yang berwarna atau ‘iris’ mereka melalui pengimbasan sebagai pertukaran untuk ID digital dan token percuma. - Foto ST

Empat lelaki dan seorang wanita telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen, kata polis dalam satu kenyataan pada 7 Ogos.

Mereka didakwa menawarkan perkhidmatan membeli dan menjual akaun Worldcoin atau token milik orang lain, lapor The Straits Times (ST).

Worldcoin ialah projek mata wang kripto biometrik, yang diasaskan bersama oleh ketua eksekutif OpenAI, Encik Sam Altman.

Dilancarkan pada 2023, projek itu melibatkan pengguna merenung bola perak, peranti pengimejan Worldcoin, dan mengimbas iris mereka sebagai pertukaran untuk identiti digital dan token percuma.

Bola ini ditemui di banyak bandar di seluruh dunia, termasuk Singapura.

Pada Julai lalu ST melaporkan orang ramai telah beratur di tingkat bawah pusat beli-belah GR.iD di Selegie Road, untuk mengimbas mata mereka sebagai sebahagian daripada proses pendaftaran untuk akaun Worldcoin mereka.

Ramai pekerja asing dikesan beratur sepanjang enam hari ST melawat pusat beli-belah GR.iD pada Mei dan Jun lalu.

Mereka nampaknya mengikut arahan beberapa “ejen”, yang enggan mengulas apabila didekati ST.

Seorang pekerja asing memberitahu ST, bahawa setiap daripada mereka dibayar tunai kira-kira $45, sebagai pertukaran untuk menyerahkan kawalan ke atas akaun dan token Worldcoin mereka yang baru dibuat, kepada ejen.

Polis berkata pada 7 Ogos bahawa mereka menerima laporan dan memulakan siasatan terhadap lima orang, berumur antara 27 dengan 52 tahun.

Siasatan awal menunjukkan tiga daripada lelaki itu didakwa telah merekrut orang, untuk mendaftar akaun Worldcoin bagi pihak ketiga.

Lelaki itu kemudian memberikan wang tunai kepada orang ramai dan mengambil alih akaun dan token mereka.

Beberapa akaun dan token telah diserahkan kepada lelaki dan wanita keempat, yang dipercayai terlibat dalam membeli dan memudahkan penerimaan dan penghantaran akaun dan token, kata polis.

Dalam operasi polis itu, lebih 200 telefon bimbit dan barangan lain dirampas sebagai bahan bukti.

Siasatan sedang dijalankan. Mereka yang didapati bersalah menjalankan perniagaan untuk menyediakan apa-apa jenis perkhidmatan pembayaran tanpa lesen, boleh didenda sehingga $125,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Polis berkata mereka akan mengambil tindakan terhadap individu atau entiti yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa lesen, untuk mengurangkan risiko pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan atau aktiviti jenayah lain.

Orang ramai diberi amaran supaya tidak memberikan atau menjual akaun Worldcoin mereka, kata polis.

“Membenarkan orang lain menggunakan atau mengakses akaun anda, boleh mengakibatkan mereka menyalahgunakan akaun untuk aktiviti jenayah dan anda akan dipertanggungjawabkan,” kata polis.

“Anda harus sentiasa menolak permintaan sedemikian, sama ada untuk Worldcoin anda atau akaun perbankan atau pembayaran lain.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg