Topik diikuti
Pergi ke BHku5 fakta menarik NDP 2026
Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 bukan sahaja menandakan sambutan ulang tahun ke-61 Singapura, malah membawa beberapa pembaharuan dan detik bersejarah yang mencerminkan semangat ‘Majulah Singapura, Go Beyond!’. Berikut lima fakta menarik:
1. NDP kembali ke Stadium Negara selepas sedekad
Buat pertama kalinya sejak 2016, sambutan Hari Kebangsaan akan kembali diadakan di Stadium Negara.
Kali terakhir stadium itu menjadi lokasi utama NDP ialah pada 2016, sebelum sambutan diadakan di Pentas Terapung Marina Bay dan kemudian Padang. Seramai 42,000 penonton dijangka menghadirinya.
2. Rekaan Pek Perbarisan hasil karya 36 pelukis berkeperluan khas
Luangkan sedikit masa meneliti rekaan pada Pek Perbarisan (NDP Pack) 2026 .
Ia menampilkan enam karya hasil sentuhan 36 pelukis berkeperluan khas yang membawa tema ‘Majulah Singapura, Go Beyond!’.
Ia hasil karya 36 pelukis berkeperluan khas berusia antara enam dengan 65 tahun. Mereka terdiri daripada 21 sekolah pendidikan khas (Sped), sembilan agensi khidmat sosial (SSA) dan, buat julung-julung kalinya, dua Pusat Campur Tangan Awal.
3. Penyertaan awam terbesar dalam lebih sedekad
Segmen Perbarisan dan Upacara (P&C) akan menyaksikan lebih 1,200 peserta daripada 26 kontinjen awam mengambil bahagian di Stadium Negara.
Ia merupakan penyertaan awam terbesar dalam tempoh lebih sedekad dan memperlihatkan pendekatan seluruh masyarakat dalam mempamerkan semangat Pertahanan Menyeluruh.
Buat kali pertama juga dalam sejarah NDP, sebuah kontinjen akan dianggotai sepenuhnya oleh golongan kurang upaya (PWD).
4. Logo NDP hasil sentuhan kreatif pelajar sekolah
Logo NDP 2026 turut memaparkan hasil sentuhan kreatif pelajar sekolah menerusi inisiatif penciptaan bersama.
Dengan mengajak golongan muda menyumbang kepada simbol rasmi NDP, inisiatif itu bertujuan memupuk rasa bangga, pemilikan dan hubungan yang lebih erat dengan sambutan Hari Kebangsaan.
5. Ulang tahun Ikrar Negara yang ke-60
2026 turut menandakan ulang tahun ke-60 Ikrar Negara yang diperkenalkan pada 1966.
Bagi meraikan detik bersejarah itu, rakyat Singapura digalak merakam video mereka melafazkan ikrar dan memuat naiknya ke laman rasmi NDP.
Video terpilih berpeluang dipaparkan di wadah media sosial NDPeeps.
