Setiap kali melihat kontinjen Briged Ambulans St John semasa latihan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) sejak 6 Jun lalu, kenangan lebih empat dekad lalu kembali segar di benak ingatan Cik Hazlinda Halim.

Pada 1985, ketika berusia 15 tahun, beliau menyertai NDP buat kali pertama sebagai anggota kontinjen Briged Ambulans St John.

Kini, 41 tahun kemudian, ejen hartanah berusia 56 tahun itu, bersiap sedia untuk kembali berbaris dalam segmen Perbarisan dan Upacara (P&C) NDP 2026.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) semasa satu acara media di Stadium Negara pada 25 Jun, Cik Hazlinda berkata peluang untuk kembali menyertai NDP bukan sahaja membolehkannya mengimbau kenangan zaman remaja.

Bahkan, ia didorong keinginan untuk mencabar dirinya sendiri sambil membuktikan usia bukan penghalang untuk terus menyumbang kepada negara.

“Apabila peluang untuk menyertai NDP sekali lagi diberikan kepada saya, saya tertanya-tanya sama ada saya masih mampu melakukannya.

“Ketika kali pertama menyertai NDP, saya baru berusia 15 tahun. Kini, pada usia 56 tahun, saya mahu mencabar diri sendiri dan menunjukkan kepada negara saya masih mampu melakukannya,” ujar beliau.

Ibu empat anak dan nenek seorang cucu perempuan itu merupakan antara salah seorang daripada 1,267 peserta daripada 26 kontinjen awam yang akan mengambil bahagian dalam segmen P&C NDP 2026.

Beliau juga merupakan antara 59 ejen hartanah lain dalam kontinjen agensi hartanah PropNex Realty yang akan tampil pada 9 Ogos ini.

Menyingkap pengalaman silam terlibat dalam NDP, Cik Hazlinda menceritakan kenangan menjalani latihan ketika berpuasa di bulan Ramadan.

Meskipun terpaksa berlatih di bawah terik matahari tanpa makan dan minum, pengalaman berbuka puasa bersama peserta Muslim lain daripada pelbagai kontinjen kekal terpahat dalam ingatannya sehingga hari ini.

“Kami bukan sahaja berbuka puasa bersama kontinjen sendiri atau sekolah sendiri, bahkan bersama peserta kontinjen lain.

“Apabila mendengar azan berkumandang, kami berkongsi makanan dan berbuka bersama. Itulah antara kenangan yang paling menyeronokkan dan tidak dapat saya lupakan,” jelasnya.

Dalam mempersiapkan dirinya menjelang 9 Ogos, beliau bersama peserta P&C lain menjalani latihan NDP di Kem Seletar sejak 6 Jun.

Ini di samping melakukan latihan tambahan setiap Ahad bersama suaminya, Encik Ahmad Fadik Papok, 64 tahun, bagi memastikan tahap kecergasannya berada pada tahap terbaik.

“Dari segi persiapan, suami saya membantu melatih saya dengan berjalan kaki, berjalan pantas dan mendaki bukit.

“Itulah antara latihan yang perlu saya lakukan sebagai persediaan supaya saya berada dalam keadaan cergas pada hari perbarisan nanti, insya-Allah,” katanya.

Meskipun mengakui cabaran terbesar yang dihadapinya sepanjang latihan kali ini adalah berdiri lama di bawah terik matahari, Cik Hazlinda berkata beliau sentiasa mengingatkan dirinya beliau mampu mengharunginya.

“Saya perlu berdiri lama, terutamanya ketika (sesi latihan P&C) menunggu kontinjen Kawalan Kehormatan dan ketibaan Presiden.

“Pada usia sebegini, saya hanya beritahu diri saya bahawa saya boleh melakukannya,” kongsi beliau, yang turut mengatasi cabaran itu dengan menggerakkan jari kaki secara perlahan-lahan serta bertasbih ketika berdiri untuk tempoh yang lama.

Beliau telah menyertai latihan NDP pertamanya di Stadium Negara pada 27 Jun, lebih empat dekad selepas kali terakhir berbaris di lokasi yang sama sebagai seorang remaja.

Menurut Cik Hazlinda, peluang untuk kembali ke stadium yang menyimpan begitu banyak kenangan manis merupakan satu pengalaman yang amat membanggakan.

“Saya hanya perlu memastikan diri dan minda saya bersedia sehingga hari perbarisan pada 9 Ogos nanti,” katanya.