Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

5 khidmat bas dari pusat tukaran Sengkang pindah ke Compassvale

Dec 19, 2025 | 7:19 PM
pusat tukaran bas sengkang, pusat tukaran bas compassvale, naik taraf, khidmat bas, pindah
Lima perkhidmatan bas dari Pusat Tukaran Bas Sengkang akan dipindahkan ke Compassvale, dari 31 Januari hingga akhir Oktober 2026, bagi membolehkan kerja naik taraf. - Foto ST

Dari 31 Januari hingga akhir Oktober 2026, lima perkhidmatan bas dari Pusat Tukaran Bas Sengkang dipindahkan ke Compassvale di seberang jalan, bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf dijalankan.

Bas yang terjejas ialah perkhidmatan nombor 80, 86, 87, 372 dan 374.

Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali pengangkutan SBS Transit, dalam satu kenyataan bersama pada 19 Disember.

Pada ketika ini, sebanyak 10 perkhidmatan bas beroperasi dari Pusat Tukaran Bas Sengkang.

Pusat itu merupakan antara beberapa hab bas yang telah melalui kerja naik taraf secara berperingkat sejak Ogos 2024.

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pembaharuan ruang legar serta peningkatan perkhidmatan mekanikal dan elektrikal, lapor The Straits Times (ST).

Pemindahan perkhidmatan bas itu diperlukan bagi “memudahkan kerja-kerja naik taraf seterusnya”, yang memerlukan akses kepada kawasan lebih luas di dalam pusat tersebut, ujar kenyataan itu.

Perkhidmatan bas yang dipilih pula ditentukan bagi “mengurangkan sebarang kesulitan kepada para penumpang”.

Terletak di 51A Compassvale Road, Pusat Tukaran Bas Compassvale boleh dikunjungi melalui lintasan pejalan kaki atau jejantas berbumbung.

Duta-duta pengangkutan juga akan dikerahkan sepanjang tempoh itu, termasuk menyediakan payung kepada penumpang semasa cuaca hujan.

Penumpang yang menaiki perkhidmatan bas 372 atau 374 juga boleh turun di perhentian bas sementara di sepanjang Sengkang Square, yang menyediakan laluan berbumbung ke Stesen MRT Sengkang.

Perhentian bas sementara itu, yang telah diubah suai dari kawasan menurunkan penumpang teksi, akan ditutup mulai 9 Januari 2026 bagi kerja-kerja penukaran.

Penduduk Sengkang, Encik Jonathan Lee, 27 tahun, yang telah menggunakan empat daripada lima perkhidmatan bas terjejas itu selama dua dekad, berkata: “Saya gembira hab bas ini akhirnya dinaik taraf.

“Namun, saya rasa ia sedikit menyusahkan,” katanya, sambil merujuk pada hab bas sementara yang merupakan kawasan terbuka, terdedah kepada cuaca hujan dan tidak bersambung dengan Stesen MRT Sengkang.

Pusat Tukaran Bas Compassvale yang dibuka pada 12 Mac 2017, tidak lagi digunakan sejak 1 Disember 2024.

Ketika ia masih beroperasi, dua perkhidmatan bas – 110 dan 374 – berkhidmat di situ.

Perkhidmatan 110, yang menuju ke Lapangan Terbang Changi, kemudian dipindahkan ke Pusat Tukaran Bas Buangkok apabila ia dibuka pada 1 Disember 2024, manakala perkhidmatan 374 dipindahkan ke Pusat Pertukaran Bas Sengkang.

Dalam pada itu, Pusat Tukaran Bas Compassvale dijadual dirobohkan menjelang 30 Oktober 2027.

Tender kerja merobohkan pusat pertukaran bas tersebut itu telah dianugerahkan kepada syarikat pembinaan Yongsheng E & C, pada 1 Disember dengan nilai $1.988 juta.

Tender tersebut turut merangkumi kerja merobohkan bekas hab bas sementara Yishun.

Menurut Pelan Induk Draf 2025 oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), kegunaan tapak Compassvale itu masih belum ditentukan.

Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Encik Louis Chua, berkata dalam satu sesi dialog bersama penduduk pada Mac 2025, pasukannya akan bertemu dengan pihak URA pada April bagi membincangkan beberapa idea, termasuk menjadikan tapak itu sebagai ruang yang boleh dimanfaatkan untuk kemudahan seperti pusat penjaja dan premis runcit.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg