Para penumpang boleh menikmati pameran yang dipancarkan di skrin 360 darjah, merancang perjalanan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan berinteraksi dengan robot di stesen MRT Punggol Coast.
Ini selepas pengendali pengangkutan awam SBS Transit (SBST) melancarkan perkampungan digital di sana pada 23 November, yang kedua dalam siri perkampungan tematik syarikat tersebut.
Selain memberi peluang kepada penumpang dan penduduk untuk mendapat inspirasi daripada teknologi, ia juga bertujuan mengubah nod pengangkutan menjadi pusat tumpuan masyarakat, lapor The Straits Times (ST).
Di amfiteater stesen tersebut terdapat paparan LED 360 darjah, dikenali sebagai Spectacular Screen yang boleh menayangkan paparan tiga dimensi (3D).
Skrin selebar 6 meter dan setinggi 2.5 meter itu – yang pertama seumpamanya di hab pengangkutan awam – boleh digunakan semasa acara masyarakat diadakan, seperti tayangan filem, pameran digital dan persembahan.
Penumpang juga akan menemui robot MR-2, yang menyerupai watak robot R2-D2 dari Star Wars. Bezanya, robot MR-2 ini tidak boleh memandu pesawat angkasa, tetapi bergerak secara bebas untuk meronda dan membersihkan stesen.
Robot itu muncul di acara pelancaran bersama anggota kumpulan peminat Star Wars Singapura yang berpakaian watak-watak ikonik seperti Stormtrooper dan Darth Vader.
Sementara itu, di sebelah kaunter Perkhidmatan Penumpang, penumpang boleh berbual dengan kios elektronik yang dikenali sebagai AIVA, atau Pembantu Maya AI, untuk mengajukan pertanyaan berkaitan pengangkutan mereka.
Dipaparkan sebagai avatar wanita di skrin yang memakai pakaian seragam SBST, AIVA boleh memberitahu penumpang laluan perjalanan yang paling cepat, pintu keluar dan tandas terdekat di stesen, serta menjawab soalan mengenai pembelian tiket MRT.
AIVA, yang dicipta oleh SBST dan firma AI yang berpusat di Hong Kong, Pantheon Lab, telah berkhidmat kepada penumpang di stesen MRT Punggol Coast dan pusat tukaran bas Ang Mo Kio sejak akhir 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, yang juga Anggota Parlimen (AP) untuk GRC Punggol, merasmikan perkampungan digital itu, bersama dengan rakan AP GRC Punggol, Cik Yeo Wan Ling.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SBST, Encik Jeffrey Sim, berkata tema digital dipilih kerana stesen itu terletak di pintu masuk Daerah Digital Punggol JTC, sebuah hab untuk sektor teknologi yang sedang berkembang seperti AI dan robotik.
Encik Sim berkata SBST juga sedang bekerjasama dengan JTC melalui LaunchPad Investor Network untuk membuka laluan masuk kepada syarikat pemula yang sedang membangunkan huraian pengangkutan, yang boleh meningkatkan pengalaman penumpang.
Menambah, beliau berkata pelajar dan pendidik dari Institut Teknologi Singapura (SIT), yang juga terletak di Punggol Coast, akan berpeluang bekerja dalam menyelesaikan cabaran pengangkutan sebenar dan membawa idea mereka ke sana.
“Dalam banyak cara, perkampungan digital ini sedang berkembang menjadi makmal hidup di mana cabaran pengangkutan sebenar boleh diselesaikan,” kata Encik Sim.
Pada September, SBST melancarkan perkampungan kesejahteraan seluas 15,000 kaki persegi di stesen MRT Tampines Laluan Downtown (DTL).
Ia menawarkan kelas kecergasan, ceramah kesihatan dan bengkel kesejahteraan, serta dilengkapi dengan cermin dinding panjang untuk kegunaan orang awam semasa sesi tarian, pilates dan yoga.
Pengendali itu dijangka melancarkan dua lagi perkampungan seumpamanya di seluruh rangkaian MRT pada 2026.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg