Topik diikuti
Pergi ke BHku5 sekolah sertai program perintis didik kanak-kanak cegah kencing manis
5 sekolah sertai program perintis didik kanak-kanak cegah kencing manis
Para guru, ibu bapa dan pelajar akan mempelajari tabiat sihat serta membina kefahaman mengenai gula dalam darah yang berkaitan dengan kanak-kanak, menerusi program perintis Sekolah Bijak Gula, sebagai sebahagian daripada gerakan Negara Bijak Gula.
Langkah itu diumumkan Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang merupakan penaung agensi perkhidmatan sosial dan badan kebajikan berdaftar bukan untung, Diabetes Singapura, pada 25 September di Hotel Conrad sempena ulang tahun ke-55 agensi itu.
“Saya berbesar hati untuk melancarkan inisiatif Sekolah Bijak Gula oleh Diabetes Singapura, satu program perintis bagi usaha lebih mendalam yang melibatkan lima buah sekolah – dua prasekolah, dua sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah...
“Diabetes Singapura juga memperluaskan usaha Bijak Gula ini melangkaui kawasan sekolah kepada peringkat keluarga dan tempat kerja,” kata Tuan Presiden.
Gerakan Negara Bijak Gula pertama dilancarkan oleh Menteri Negara (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Cik Rahayu Mahzam, pada November 2025.
Dengan kerjasama kawasan undi Jurong Spring-Gek Poh, di bawah GRC West Coast-Jurong West, program perintis itu akan diperkenalkan di lima sekolah iaitu – prasekolah Yayasan Masyarakat PAP (PCF) Jurong Spring, PCF Gek Poh, Sekolah Rendah Corporation, Sekolah Rendah Rulang dan Sekolah Menengah Westwood.
Kesemua lima buah sekolah itu akan menjalankan kegiatan bersesuaian mengikut umur.
Pelajar akan mengetahui konsep seperti memilih makanan kaya serat, saiz hidangan yang wajar, susunan makanan mengikut kesesuaian, kegiatan fizikal yang tetap serta senaman rintangan, di samping memahami bagaimana otot membantu badan menggunakan glukosa.
Susunan makanan mengikut kesesuaian merupakan konsep makanan yang disaran dimakan dahulu dan makanan yang dimakan kemudian, di atas satu pinggan yang sama.
Menurut Anggota Parlimen GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak, sekolah memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak memahami bagaimana pilihan yang mereka buat hari ini mampu membentuk kesihatan mereka pada masa akan datang.
“Apa yang paling saya hargai tentang program ini adalah pendekatannya yang melibatkan keseluruhan sekolah.
“Ia membawa pelajar, ibu bapa, dan guru bersama-sama dalam perjalanan ini, sekali gus mengubah pengetahuan kesihatan kepada tabiat praktikal yang boleh diperkukuhkan sama ada di sekolah mahupun di rumah,” kata Dr Hamid.
Pendekatan itu disokong Cik Zakiyyah Zahidah Zainol, 42 tahun, yang menghantar anaknya yang berusia empat tahun ke sekolah PCF Sparkletots Preschool@Jurong Spring-Gek Poh di Blok 275A, salah satu sekolah yang menyokong daya usaha mencegah kencing manis itu.
Beliau berharap agar anaknya dapat belajar membuat pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat.
“Saya sangat menghargai usaha sekolah mengambil bahagian dalam Program Sekolah Bijak Gula.
“Saya fikir ini adalah cara yang hebat untuk mengajar anak-anak tentang kepentingan pemakanan sihat sejak dari kecil dan membantu mereka memahami bagaimana pengambilan gula berlebihan boleh menjejaskan kesihatan mereka,” kongsi Cik Zakiyyah.
Selain lima sekolah itu, lapan organisasi turut menyertai kohort kedua bagi tonggak tempat kerja dalam gerakan Negara Bijak Gula.
Dalam satu kenyataan Diabetes Singapura, data kesihatan penduduk terkini di Singapura menunjukkan bahawa penyakit kencing manis menjadi semakin lazim dalam kalangan pekerja di peringkat umur di mana majoriti berada dalam fasa paling aktif bekerja.
Kencing manis menjejas 5.4 peratus dalam kalangan penduduk berusia 40 hingga 49 tahun dan sebanyak 12.9 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 50 hingga 59 tahun, kata kenyataan itu.
Justeru, tempat kerja merupakan persekitaran yang penting bagi langkah pencegahan.
Lapan syarikat itu termasuk Actxa; Ascensia Diabetes Care; Nomura Singapore Limited; PhillipCapital; Roche Diagnostics Asia Pacific; Singapore Recreation Club; Sun Life Private Wealth; dan Terumo Asia Holdings.
Mereka akan menyertai tujuh syarikat daripada kohort pertama untuk mewujudkan persekitaran yang memudahkan pilihan lebih sihat – menerusi pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat, pembelajaran pakar, kegiatan fizikal, kesedaran ujian saringan, kerja sukarela, serta penglibatan yang berterusan.
Kohort syarikat pertama merangkumi syarikat daripada pelbagai sektor termasuk perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan, insurans, teknologi, pengilangan, media dan riadah, yang telah menyertai gerakan Negara Bijak Gula pada November 2025.