Sekitar 50 penduduk diarah keluar dan seorang dibawa ke hospital setelah sebuah unit kondominium di Yishun terbakar pada 28 Mei.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu hantaran di Facebook pada 28 Mei berkata ia telah dimaklumkan mengenai satu kebakaran pada sekitar 11.40 pagi di 93 Yishun Street 81, terletaknya Kondominium Orchid Park.
Anggota bomba dari Balai Bomba Yishun dan Balai Bomba Ang Mo Kio yang tiba di tempat kejadian melihat kepulan asap hitam keluar dari unit di tingkat tiga, kata SCDF.
SCDF menambah tiada sesiapa di dalam apartmen pada masa itu dan anggota bombanya masuk ke dalam secara paksa.
Sebuah mesin pengering dan mesin basuh di ruang guna apartmen itu terbakar, katanya, sambil menambah api telah dipadamkan dengan pancutan air, lapor The Straits Times.
Kira-kira 50 penduduk diarah keluar oleh polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga.
SCDF berkata seorang penduduk telah dikejarkan ke Hospital Besar Singapura setelah terhidu asap.
Siasatan awal menunjukkan kebakaran berpunca daripada masalah elektrik pada mesin pengering.
Bagi mencegah kebakaran elektrik, SCDF menggesa orang ramai supaya tidak membebankan soket elektrik dengan peralatan dan sentiasa mematikannya apabila tidak digunakan.
Mereka juga harus memeriksa keadaan wayar dengan kerap dan menggantikan atau membaiki wayar yang tidak dalam keadaan baik seperti koyak atau adanya rekahan.
SCDF turut menasihati orang ramai agar tidak meletakkan wayar di bawah karpet atau tikar dan memastikan ia berada jauh dari permukaan panas.
Orang ramai harus menggunakan peralatan dan palam elektrik dengan tanda keselamatan atau ‘Safety Mark’, dan tidak menggunakan peralatan yang rosak.
Menurut angka yang dikeluarkan SCDF, pada Februari, terdapat lebih banyak kebakaran pada 2023, dengan 1,954 kes, hampir 10 peratus kenaikan daripada 1,709 kes pada 2022.
Dua punca teratas adalah kebakaran elektrik dan masakan yang tidak diawasi, dengan masing-masing mencatat 597 dan 456 kes.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg