Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

50 penduduk dipindahkan selepas flat HDB di Jalan Bahagia terbakar 

Aug 11, 2025 | 12:52 AM
Bilik tidur dan barang dalam flat ini terbakar dan terjejas teruk akibat kebakaran, dengan dinding dan siling turut berubah warna.
Bilik tidur dan barang dalam flat ini terbakar dan terjejas teruk akibat kebakaran, dengan dinding dan siling turut berubah warna. - Foto FACEBOOK SCDF

Sekitar 50 penduduk dipindahkan dari sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Jalan Bahagia, berdekatan kawasan Whampoa, pada 9 Ogos selepas kebakaran berlaku di sebuah unit di tingkat enam.

Pasukan bomba tiba di lokasi kebakaran di 34 Jalan Bahagia sekitar 9.30 malam, menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sejurus selepas tengah malam 10 Ogos.

Kebakaran yang berlaku di bilik tidur itu berjaya dipadamkan menggunakan jet air, manakala keseluruhan flat tersebut mengalami kerosakan akibat haba dan asap, kata SCDF.

Ketika pasukan bomba tiba di tempat kejadian, tiada sesiapa ditemui di dalam flat dan tiada kecederaan dilaporkan.

Dalam gambar yang dikongsi SCDF di Facebook, bilik tidur dan barang-barang di dalam unit yang terjejas itu kelihatan rosak teruk akibat kebakaran – termasuk sebuah rangka katil yang kelihatan hangus, serta dinding dan siling yang berubah warna, lapor The Straits Times (ST).

Siasatan awal menunjukkan kebakaran itu mungkin berpunca daripada kejadian berkaitan elektrik di bilik tidur flat tersebut, jelas SCDF.

SCDF mengingatkan orang ramai supaya tidak memuatkan terlalu banyak peralatan elektrik pada satu soket dan supaya mematikan peralatan elektrik apabila tidak digunakan.

Wayar yang rosak atau retak juga harus diganti sebelum digunakan.

Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Encik Shawn Loh, telah meluangkan masa bersama penduduk flat terjejas selepas menghadiri Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP)

Beliau berkata Pusat Rangkaian Penduduk (RN) itu dibuka untuk memberi tempat perlindungan kepada mereka yang memerlukan, walaupun sebilangan besar penduduk telah kembali ke flat masing-masing.

Encik Loh menambah bahawa tiga penduduk telah membantu memberi amaran kepada jiran mereka tentang kebakaran tersebut, serta membawa beberapa warga emas ke kawasan perlindungan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg