Seorang mangsa telah dihantar ke hospital selepas kebakaran berlaku di bilik tidur sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Toa Payoh pada pagi 14 Julai.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata dalam satu hantaran Facebook bahawa ia dimaklumkan tentang satu kebakaran dan tiba di rumah yang terletak di tingkat 12 Blok 194 Kim Keat Avenue itu pada kira-kira 11.50 pagi.
Anggota bomba memadamkan api dengan jet air selepas memasuki rumah tersebut yang dipenuhi asap.
Terdapat kerosakan kepada seluruh rumah itu serta kawasan koridornya, kata SCDF.
Tiga orang sempat keluar dari rumah yang terjejas itu sebelum SCDF tiba, dan kira-kira 60 penduduk blok itu telah dipindahkan oleh polis sebagai langkah berjaga-jaga.
SCDF berkata ia telah merawat dua orang kerana tersedut asap.
Seorang daripada mereka dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH), manakala seorang lagi enggan dibawa ke hospital, tambahnya.
SCDF berkata penemuan awal menunjukkan kebakaran itu mungkin berpunca daripada isu elektrik dalam bilik tidur terjejas.
Menurut laporan statistik tahunan SCDF yang dikeluarkan pada 13 Februari, 968 panggilan yang diterima pada 2024 adalah berkaitan dengan kebakaran di rumah.
Daripada jumlah kebakaran ini, 299 adalah berpunca daripada masalah elektrik, manakala 335 adalah daripada memasak tanpa pengawasan – dua punca utama kebakaran di premis perumahan.
Terdapat 8.3 peratus lebih banyak kebakaran yang berpunca daripada elektrik pada 2024 berbanding 2023.
Kebakaran berpunca daripada elektrik kebanyakannya disebabkan kerosakan pada pendawaian elektrik atau peralatan elektrik, atau beban berlebihan pada soket elektrik, tambah SCDF.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg