Topik diikuti
Pergi ke BHku500 laporan bahaya dalam talian dilapor dalam dua bulan pertama OSC dibentuk
90% kes dapat diselesaikan; mangsa paling muda usia 7 tahun akibat doxing manakala mangsa tertua usia 68 tahun akibat gangguan dalam talian
500 laporan bahaya dalam talian dilapor dalam dua bulan pertama OSC dibentuk
Lebih daripada 500 laporan telah diterima dengan lebih 90 peratus kes yang berjaya diselesaikan sejak Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) ditubuhkan pada 29 Jun.
Hampir seperlima laporan yang layak diterima melibatkan mangsa berusia 18 tahun ke bawah, dengan yang paling muda berusia tujuh tahun akibat pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran atau doxing, kata OSC pada 22 September.
Baki 10 peratus kes yang belum diselesaikan, tambah OSC, melibatkan laman web yang berpangkalan di luar Singapura.
Maklumat itu dikongsi OSC dan juga sebahagian daripada topik perbincangan dalam episod pertama bagi siri podcast Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) bertajuk Let’s Table It.
Podcast yang dilancarkan pada 22 September itu turut menampilkan Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan, Cik Josephine Teo.
“OSC ditubuhkan bagi tujuan yang sangat jelas, iaitu membantu individu yang telah menjadi mangsa kemudaratan dalam talian.
“Sering kali, apabila anda bercakap dengan mangsa-mangsa ini, keperluan mendesak mereka adalah jelas dan mudah.
“Mereka benar-benar inginkan kandungan yang memudaratkan itu dipadamkan secepat mungkin,” kata Cik Teo.
Dalam pada itu, OSC telah mengeluarkan perintah ketidakpatuhan kepada penyedia perkhidmatan untuk menyekat akses ke laman web yang melibatkan kes-kes yang tidak dapat diselesaikan.
Namun OSC berkata kes-kes ini dibiarkan terbuka sekiranya ada perkara lain yang boleh dilakukan untuk menyelesaikannya.
Daripada kes yang dilaporkan, mangsa termuda ialah seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang menjadi mangsa doxing manakala mangsa tertua ialah seorang individu berusia 68 tahun yang menjadi mangsa gangguan dalam talian.
OSC merupakan agensi baharu khusus bagi membantu mangsa bahaya dalam talian yang mula beroperasi sejak 29 Jun, sekali gus menyediakan saluran lebih pantas bagi mangsa mendapatkan perlindungan dan bantuan.
Bagi membolehkan penubuhan OSC, Parlimen telah meluluskan Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) (OSRAA) pada November 2025.
Undang-undang tersebut memperincikan 13 jenis bahaya dalam talian yang membolehkan mangsa mendapatkan pembelaan.
Memberikan perincian lanjut tentang lima jenis bahaya, OSC berkata doxing merupakan aduan yang paling biasa diterima, merangkumi sebanyak 44 peratus daripada keseluruhan laporan.
Gangguan dalam talian berada di tempat kedua dengan 38 peratus, manakala bakinya terbahagi kepada penyalahgunaan imej intim iaitu sebanyak 8 peratus, mengintai dalam talian (stalking) sebanyak 7 peratus, dan penyalahgunaan kanak-kanak berasaskan imej sebanyak 3 peratus.
Kes-kes ini berlaku di pelbagai platform berbeza, termasuk laman media sosial, forum, dan juga aplikasi mesej peribadi seperti Telegram dan WhatsApp.
Lapan bahaya dalam talian tambahan yang bakal dilaksanakan secara berperingkat kelak ialah – penyamaran dalam talian; penyalahgunaan bahan tidak tulen (seperti deepfake); hasutan dalam talian yang menyebabkan kemudaratan tidak seimbang; hasutan keganasan; hasutan permusuhan; penerbitan bahan palsu; penerbitan kenyataan yang merosakkan reputasi; serta pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran.
Bagi mangsa berumur di bawah 18 tahun, gangguan dalam talian kekal sebagai kategori terbesar iaitu sebanyak 51 peratus, doxing sebanyak 31 peratus, penyalahgunaan kanak-kanak berasaskan imej sebanyak 11 peratus, manakala mengintai dalam talian dan penyalahgunaan imej intim masing-masing merangkumi kira-kira 3.5 peratus.