Topik diikuti
Pergi ke BHku51 murid, 2 staf tadika MOE alami gastroenteritis
Operasi penyedia makanan, Deli Hub Catering, digantung memandangkan terdapat kemungkinan penularan masih berlaku.
51 murid, 2 staf tadika MOE alami gastroenteritis
Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA) sedang menyiasat dua kes gastroenteritis yang dilaporkan di dua cawangan Tadika Kementerian Pendidikan (MK), setelah 53 individu dilanda simptom penyakit itu.
Penyakit gastroenteritis lazimnya termasuk simptom cirit-birit dan muntah.
Cawangan yang terjejas ialah Tadika MOE @ Springdale dan Tadika MOE @ Gongshang, jelas SFA, CDA dan MOE menerusi kenyataan bersama pada 27 Oktober.
Dalam kenyataan itu, MOE juga menyatakan bahawa ia sedang bekerjasama rapat dengan CDA, SFA dan tadika yang terjejas bagi membantu dalam siasatan berkenaan.
53 individu yang terjejas – 51 murid dan dua kakitangan – dilaporkan mengalami simptom gastroenteritis antara 21 dengan 23 Oktober setelah memakan makanan yang disediakan oleh Deli Hub Catering.
Khidmat syarikat penyedia makanan itu ditempah oleh penjagaan tadika (KCare) yang mengendalikan kededua cawangan MK berkenaan.
Individu yang terjejas telah mendapatkan rawatan pesakit luar, merawat diri sendiri, atau pulih tanpa rawatan, jelas agensi-agensi itu.
Tiada individu yang dimasukkan ke hospital.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa kedua-dua MK itu telah mempertingkatkan langkah kebersihan dan pencegahan, termasuk langkah pembersihan menyeluruh serta pembasmian kuman di kawasan yang terjejas.
Memandangkan terdapat kemungkinan penularan masih berlaku, SFA telah menggantung operasi perniagaan makanan Deli Hub Catering mulai 27 Oktober sehingga dimaklum kelak.
SFA menyatakan bahawa pemegang lesen wajib mematuhi langkah yang ditetapkan sepanjang tempoh penggantungan itu, termasuk membersihkan serta menyahjangkit premis, peralatan dan perkakas.