Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

56 kenderaan SBS Transit dilengkapi alat AED

Nov 9, 2024 | 5:00 PM
Kapten bas, Encik Chen Shaoxi, dengan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) yang digunakan di dalam perkhidmatan bas 138, yang beroperasi antara Ang Mo Kio dengan Taman Haiwan Singapura.
Kapten bas, Encik Chen Shaoxi, dengan alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) yang digunakan di dalam perkhidmatan bas 138, yang beroperasi antara Ang Mo Kio dengan Taman Haiwan Singapura. - Foto ST

Sebanyak 53 bas awam telah dilengkapi alat perubatan dalam memberi bantuan pernafasan kecemasan, Defibrilator Luaran Automatik (AED), yang boleh dimanfaatkan dalam situasi cemas di bawah program Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) bersama SBS Transit AED-on-Buses.

Ini bermakna kapten bas SBS Transit atau penumpang boleh gunakan alat yang menganalisis degupan jantung dan jika perlu memberi kejutan elektrik atau defiblirasi untuk membantu jantung seseorang kembali dengan degupan sewajarnya.

Penggunaan AED adalah sebagai usaha memberi bantuan pernafasan kecemasan untuk mereka yang tiba-tiba dilanda serangan jantung sebelum paramedik SCDF tampil membantu.

AED-on-Buses juga membolehkan orang awam yang jalani Program Pihak Pertama Bertindak dalam Masyarakat, untuk digerakkan membantu menerusi aplikasi myResponder yang memberi lokasi adanya alat AED di kawasan berdekatan.

Kerjasama SCDF dan SBS Transit itu dilancarkan di Depoh Bas Seletar pada 8 November 2024. Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, merupakan tetamu terhormat.

SBS Transit (SBST) merupakan syarikat bas pertama yang sertai program AED-on-Buses.

Ini merupakan kerjasama ketujuh antara SCDF dengan pelbagai pertubuhan lain bagi melengkapi pengendali pengangkutan awam serta swasta dengan AED, tajaan Yayasan Jantung Singapura (SHF).

AED-on-Buses adalah komponen penting bagi inisiatif menyelamatkan nyawa, Save-A-Life oleh SCDF, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (MOH), SHF dan Persatuan Rakyat (PA).

Program itu menggalak masyarakat memberi bantuan secepat mungkin kepada kes-kes serangan jantung di luar hospital dan meningkatkan akses kepada peralatan AED.

Dr Faishal berkata: “Sekiranya seseorang mengalami serangan jantung dalam bas, AED boleh diperolehi dengan lebih mudah dari lokasi berdekatan seperti blok HDB. Tetapi, untuk bas yang beroperasi di kawasan terpencil, ia mungkin tidak mempunyai akses segera kepada AED.

“Justeru, program AED-on-Buses bolehkan kapten bas atau penumpang gunakan AED dan memberi bantuan semasa dalam perjalanan bas. Aplikasi MyResponder SCDF juga akan memberi pesanan kepada masyarakat yang berdaftar sebagai Pihak Pertama Bertindak di kawasan-kawasan terpencil ini untuk menahan perkhidmatan bas tertentu yang mempunyai AED jika mereka tidak dapat perolehi AED berdekatan.”

Buat masa ini, 56 kenderaan SBS Transit – 53 bas awam dan tiga kereta ronda – dilengkapi dengan AED.

Tiga perkhidmatan bas dipilih kerana kebanyakan warga tua menggunakan laluan bas tersebut dan juga kerana laluan itu meliputi kawasan perindustrian, di mana tidak banyak AED boleh diakses, menurut SBS Transit.

Daripada 53 bas itu, sembilan adalah perkhidmatan bas 138, yang beroperasi antara Ang Mo Kio dengan Taman Haiwan Singapura; 17 bas adalah perkhidmatan bas 268 yang beroperasi sekitar Ang Mo Kio; dan 27 bas adalah perkhidmatan bas 851, yang beroperasi antara Yishun dengan Bukit Merah.

Lebih 100 kapten bas terlibat dalam laluan AED-on Buses.

Perangkaan dari Pendaftar Serangan Jantung Singapura (SMIR) menunjukkan bahawa bantuan kecemasan pernafasan segera, jika digabungkan dengan penggunaan AED, boleh tingkatkan kadar kelangsungan hidup mangsa serangan jantung sebanyak dua hingga tiga kali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg