Enam daripada 27 bangunan era kolonial yang bersejarah di sekitar Gillman Barracks yang terletak di bahagian selatan Singapura akan dirobohkan walaupun dinilai mempunyai kepentingan sejarah dan warisan yang tinggi.

Ini demi memberi laluan kepada pembinaan jalan raya bagi pembangunan perumahan di kawasan itu.

Enam bangunan itu termasuk 43 Malan Road, 7 Preston Road, 8 Preston Road, Blk A, dan Blk O di 2 Malan Road, serta 991C Alexandra Road.

Beberapa bangunan di Gillman Barracks itu telah dibina untuk menempatkan Batalion Pertama askar British pada 1935.

Pada waktu itu, keenam-enam bangunan tersebut digunakan sebagai kemudahan seperti gerai makanan, perpustakaan dan pejabat.

Selain baki 21 bangunan yang dianggap mempunyai nilai warisan tinggi, empat lagi bangunan dengan nilai warisan luar biasa di Preston Road dan Lock Road dapat dikekalkan juga.

Bangunan tersebut, antara lain, merupakan sekolah antarabangsa (yang dahulunya Sekolah Alexandra), restoran dan galeri seni yang kerap dikunjungi penggiat seni.

Menurut satu kenyataan media oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), setelah kontrak sewaan tamat pada 2030, sesetengah bangunan itu dirancang untuk diubah menjadi tempat yang menyediakan kemudahan dan tawaran komersial bagi penduduk di kawasan itu pada masa akan datang.

Perancangan itu hasil kajian warisan dan alam sekitar oleh HDB bersama beberapa agensi warisan dan alam sekitar.

Semua bangunan di Gillman Barracks telah dinilai menerusi kajian itu.

HDB menjelaskan: “Walaupun tidak semua bangunan dapat dikekalkan, keutamaan diberikan kepada kelompok bangunan yang mempunyai nilai sejarah dan seni bina paling tinggi serta boleh disepadukan secara bermakna ke dalam kejiranan baharu pada masa hadapan.”

Daripada 86 bangunan yang dinilai dalam kajian warisan Gillman Barracks, empat diiktiraf sebagai mempunyai nilai warisan, sejarah, sosial dan seni bina luar biasa.

Sebanyak 27 bangunan disifatkan berstatus ‘tinggi’, 24 pula berstatus ‘sederhana’, 16 bangunan berstatus ‘rendah’, manakala 15 bangunan lagi dikategorikan sebagai ‘neutral/mengganggu’.

Selain pelestarian warisan, hutan dan anak sungai hutan juga diusulkan untuk dikekalkan demi pemeliharaan ekologi.

Justeru, koridor ekologi selebar 30 meter yang menghubungkan Taman Bukit Telok Blangah dengan HortPark, serta Berlayar Creek dan Rizab Alam Semula Jadi Labrador, akan dipelihara.

Kajian tersebut meliputi kawasan seluas 47 hektar, yang merangkumi kawasan pembangunan seluas kira-kira 40 hektar yang dibatasi oleh Depot Road, Alexandra Road, Telok Blangah Road/West Coast Highway dan Telok Blangah Street 31, serta kawasan hijau seluas 7 hektar di utara Telok Blangah Heights.

Justeru, pembangunan masa hadapan itu akan terletak berhampiran Stesen MRT Labrador Park dan dirancang dengan pembinaan jalan raya baharu serta kemudahan mobiliti aktif.

Selain Gillman Barracks, satu lagi kawasan, iaitu Sunset Way di Clementi, akan turut dibangunkan bagi tujuan perumahan terangkum dalam kajian ini.

Kira-kira 15 hektar kawasan hutan di Sunset Way, Clementi, akan dibangunkan bagi memberi laluan kepada pembinaan perumahan awam baharu dalam beberapa tahun akan datang.

Menurut HDB, kira-kira 8 hektar daripada tapak yang dibatasi oleh Brookvale Drive, Clementi Road dan Sunset Way itu, akan dikekalkan bagi menyediakan habitat perlindungan untuk hidupan liar serta memudahkan pergerakan fauna.

Justeru, kawasan hijau yang akan disepadukan merupakan antara pembangunan baharu dan sedia ada supaya penduduk dapat menikmati alam semula jadi berhampiran kediaman mereka.

Laluan Jejak Alam Semula Jadi Clementi dan Jejak Alam Semula Jadi Old Jurong Line juga akan dibangunkan secara berperingkat bagi mengekalkan keterkaitan ekologi.

Sebelum kerja pembinaan dimulakan, tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai pemuliharaan di kawasan pembangunan akan dipindahkan dan dipelihara.

Pembersihan tapak secara berperingkat juga akan dilaksanakan bagi membolehkan hidupan liar berpindah dengan selamat ke kawasan hijau bersebelahan sebelum kerja pembinaan bermula.

Laporan penuh tentang perancangan pemeliharaan warisan dan alam sekitar boleh diperolehi melalui laman web HDB InfoWEB.

Orang ramai dialu-alukan berkongsi maklum balas mereka berkenaan laporan itu dari 10 Julai hingga 6 Ogos.