Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

6 ditahan, disyaki terlibat dalam sindiket siber haram sejagat

Sep 10, 2024 | 6:46 PM
Komputer riba, telefon bimbit dan lebih $543,600 dan mata wang asing dirampas dalam satu serbuan.
Komputer riba, telefon bimbit dan lebih $543,600 dan mata wang asing dirampas dalam satu serbuan. - Foto PIXABAY

Lima warga China dan seorang warga Singapura – kesemuanya lelaki berumur antara 32 dengan 42 tahun – didakwa pada 10 September kerana disyaki terlibat dalam kegiatan siber haram di sini.

Lebih $543,600 wang tunai dan mata wang kripto bernilai AS$850,000 ($1.1 juta) turut dirampas.

Demikian menurut kenyataan bersama daripada Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 10 September.

Kira-kira 160 pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah SPF, Jabatan Perisik Polis, Pusat Markas Operasi Khas dan ISD melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi kediaman di seluruh negara pada 9 September.

Operasi itu membawa kepada penahanan enam lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket peringkat sejagat yang menjalankan kegiatan siber berniat jahat, tambah kenyataan bersama itu.

Seorang warga China berusia 42 tahun ditahan di Bidadari Park Drive dan didapati memiliki komputer riba yang mengandungi keupayaan mengakses pelayan Internet yang digunakan oleh kumpulan penggodam yang dikenali.

Sebanyak lima komputer riba, enam telefon bimbit, wang tunai lebih $24,000 dan mata wang kripto bernilai kira-kira AS$850,000 telah dirampas daripadanya.

Tiga lagi warga China ditahan di sebuah kediaman di Mount Sinai Avenue dan antara barang yang dirampas termasuk tiga komputer riba mengandungi data yang diperoleh tanpa kebenaran, alat godam komputer dan perisian khusus, telefon bimbit dan wang tunai berjumlah $54,600 serta mata wang asing yang lain.

Seorang lagi warga China, 38 tahun, ditahan di kediamannya di sebuah kondominium di Cairnhill Road.

Dia disyaki menawarkan untuk membeli maklumat pengenalan diri yang dipercayai diperoleh melalui cara yang menyalahi undang-undang.

Satu komputer riba, sembilan telefon bimbit dan wang tunai $465,000 turut dirampas daripadanya.

Seorang lelaki warga Singapura, 34 tahun, ditahan di kediamannya di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Hougang kerana disyaki bersubahat dengan kesalahan berkaitan kegiatan siber haram itu.

Kesemua lima warga China telah didakwa pada 10 September atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.

Kesalahan mengakses tanpa kebenaran bahan komputer membawa denda sehingga $5,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Kesalahan mengekalkan atau menawarkan untuk membekalkan maklumat peribadi yang diperoleh tanpa kebenaran, serta kesalahan mengekalkan perisian yang boleh digunakan untuk melakukan kesalahan lain boleh dikenakan denda sehingga $10,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kededuanya.

Lelaki warga Singapura itu telah didakwa pada 10 September atas kesalahan bersubahat mendapatkan akses tanpa kebenaran ke laman web.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda sehingga $5,000, penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika dia pesalah kali pertama.

Kesemua enam lelaki itu akan direman untuk siasatan lanjut kerana polis terus menyiasat rangkaian hubungan tempatan mereka dan sindiket sejagat yang dikaitkan dengan mereka, kata kenyataan bersama itu.

“Ini adalah operasi penting kerana individu tersebut disyaki menjalankan operasi siber sejagat berniat jahat dari Singapura,” ujar polis dan ISD.

“Kami mempunyai toleransi sifar terhadap penggunaan Singapura untuk menjalankan kegiatan jenayah, termasuk aktiviti siber haram. Kami akan bertindak tegas terhadap penjenayah.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg