Terdapat 33 laporan mengenai e-mel peras ugut yang dihantar kepada orang ramai di Singapura pada Ogos, kata agensi keselamatan siber utama negara ini.
E-mel tersebut meminta wang, dalam bentuk mata wang kripto, dengan ancaman akan menyebarkan video peribadi mangsa yang berpotensi memalukan yang dirakam melalui peranti yang dijangkiti perisian hasad.
Kumpulan Respons Kecemasan Komputer Singapura (SingCert), sebuah unit Agensi Keselamatan Siber Singapura, mengeluarkan nasihat pada 28 Ogos memberi amaran kepada orang ramai tentang e-mel peras ugut itu.
SingCert berkata ia telah melihat pelbagai variasi e-mel tersebut, antaranya beberapa e-mel dalam bahasa selain bahasa Inggeris, lapor The Straits Times (ST).
Mereka yang menerima e-mel peras ugut sebegitu harus menyedari ia mungkin satu penipuan dan dinasihatkan supaya tidak menghiraukan ancaman itu, kata SingCert.
“Tuntutan yang dibuat dalam e-mel ini adalah tidak berasas, dan pelakunya tidak mempunyai maklumat atau video yang benar-benar boleh menjejas anda. E-mel itu sebahagian kempen peras ugut rambang dan tidak menyasarkan anda secara khusus,” tambahnya.
“Fahamilah bahawa dakwaan tidak berasas ini direka untuk menakut-nakutkan dan memeras wang daripada anda. Jangan balas e-mel ini dan jangan buat sebarang pembayaran. Melibatkan diri dengan pelaku atau menyerah kepada pemerasan ini akan menggalakkan mereka meneruskan kegiatan jenayah siber mereka.”
E-mel peras ugut sebegini sering mendakwa bahawa perisian hasad telah dipasang pada peranti penerima, termasuk komputer dan telefon pintar, untuk merakam video peribadi.
Sesetengah e-mel juga mendakwa bahawa pelaku telah menggodam akaun e-mel penerima dan mempunyai akses kepada e-mel dan senarai kenalan mereka.
Pelaku menuntut pembayaran mata wang kripto dan mengancam untuk menghantar video berkenaan kepada kenalan penerima e-mel itu jika pembayaran tidak dibuat dalam masa yang ditetapkan.
Dalam sesetengah kes, e-mel peras ugut itu nampaknya dihantar daripada alamat e-mel si penerima sendiri, menjadikan muslihat itu lebih dipercayai.
Malah, penipu akan menggunakan teknik yang dikenali sebagai e-mel perdayaan supaya kelihatan seolah-olah e-mel itu dihantar daripada sumber yang sah.
SingCert menasihatkan orang ramai supaya melindungi akaun mereka, misalnya dengan menggunakan frasa laluan yang kompleks dan pengesahan berbilang faktor.
Mereka yang menerima e-mel peras ugut sebegini boleh melaporkannya kepada SingCert (www.csa.gov.sg/cyber-aid) untuk membantu unit itu memantau dan menentang penipuan tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg