Topik diikuti
Pergi ke BHku6 lagi pusat tukaran bas termasuk Bukit Batok, Tampines, Eunos bakal dinaik taraf
Mulai 2027, kerja menaik taraf enam lagi pusat tukaran bas akan dimulakan.
Ia merangkumi pembaharuan sistem pencahayaan serta penyediaan kemudahan yang lebih bersifat terangkum, seperti penambahan tempat duduk dan tandas mesra kerusi roda.
Pusat tukaran bas yang tersenarai bagi projek naik taraf itu ialah Bishan, Bukit Batok, Bukit Merah, Eunos, Punggol dan Tampines.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 18 Ogos menyatakan bahawa penambahbaikan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menjadikan pengangkutan awam lebih selesa, mesra keluarga dan terangkum.
Bagi mengurangkan gangguan terhadap perkhidmatan bas, kerja menaik taraf berkenaan akan dijalankan secara berperingkat, ujar LTA.
Penambahbaikan yang bakal dijalankan termasuk menggantikan dan menaik taraf sistem seperti penyaman udara, pengudaraan dan pencahayaan bagi meningkatkan keselesaan di samping kecekapan tenaga.
Kemudahan terangkum seperti bilik penjagaan bayi atau tandas keluarga, laluan panduan taktil, tanda Braille pada pemegang tangan, serta zon barisan keutamaan akan turut dipertingkat di pusat tukaran bas tersebut.
Zon barisan keutamaan akan membolehkan warga emas, wanita hamil, keluarga yang membawa kereta sorong bayi, serta individu kurang upaya untuk menunggu di kawasan khas berhampiran pintu pelepasan bas.
Pelbagai kemudahan kakitangan seperti pejabat perkhidmatan penumpang dan ruang rehat kakitangan, juga akan diubah suai bagi menyokong petugas barisan hadapan di pusat tukaran bas dengan lebih baik.
Kerja menaik taraf yang serupa sedang berjalan di pusat tukaran bas Ang Mo Kio, Bedok, Boon Lay, Clementi, Sengkang, Serangoon dan Toa Payoh.
Diumumkan pada Ogos 2024, kerja menaik taraf bernilai sekitar $105 juta itu berada di landasan tepat untuk siap menjelang 2027.
