Sebanyak 60 hadiah telah disampaikan kepada para pemenang peraduan fotografi yang bertujuan menonjolkan keindahan kehidupan di kawasan perumahan awam Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Peraduan fotografi SG60 Heartland Stories yang dianjurkan oleh HDB dan Persatuan Fotografi Singapura itu telah menerima lebih 12,600 penyertaan dari Jun hingga Ogos.
Lima hadiah utama bagi pemenang dalam dua kategori peraduan tersebut disampaikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pembangunan Negara dan Kewangan), Cik Indranee Rajah, di Pusat Seni Selegie pada 29 September.
Cik Indranee berkata para pemenang berjaya memaparkan kepelbagaian sosial yang kaya di Singapura.
Peserta kategori junior, Chen Tian Yang, 14 tahun, memaparkan dua pelajar membantu seorang warga emas melintas jalan.
Penyertaan bertajuk ‘Masyarakat Disokong Hati Baik’ (Community Supported By Pillars Of Kind Hearts) itu memenangi tempat kedua dalam kategori tersebut.
Kategori bagi para remaja itu menerima lebih 1,800 penyertaan daripada peserta berumur dari 12 hingga 17 tahun, lapor The Straits Times (ST).
“Melalui pandangannya, kita dapat melihat bagaimana perbuatan baik sebegini mencerminkan nilai bersama dan semangat kemasyarakatan kita,” kata Cik Indranee.
Foto yang memaparkan sekumpulan warga emas berkumpul dan bermain permainan catur di kolong blok HDB, memenangi tempat ketiga dalam kategori lain bagi peserta berumur 18 tahun dan ke atas.
Foto bertajuk Checkmate! merupakan karya Encik Ahmad Iskandar Abdullah.
Hadiah pertama dalam kategori sama dimenangi oleh Encik Calvin Chan melalui foto bertajuk Lompatan Riang di Kawasan Perumahan Awam (Heartland Leap of Joy), yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak melompat di latar belakang taman permainan dan blok HDB.
Sebanyak 50 penyertaan lain menerima sebutan penghargaan.
Menurut Cik Indranee, kehidupan di HDB memainkan peranan penting dalam pengalaman hidup ramai generasi rakyat Singapura.
“Selama ini, estet HDB kita bukan sahaja menyediakan tempat tinggal bagi warga Singapura, malah membina masyarakat yang kukuh.
“Ia mewujudkan ruang bersama untuk penduduk menjalin persahabatan, hubungan, dan semangat kampung yang menjadikan kejiranan kita rasa seperti sebuah rumah.
“Peraduan ini menyerlahkan kisah-kisah yang telah membentuk dan mencorak kawasan perumahan awam HDB kita,” jelas Cik Indranee.
Pameran penyertaan foto tersebut berlangsung di Persatuan Fotografi Singapura yang terletak 30 Selegie Road sehingga 12 Oktober.
Pameran tersebut kemudian akan dibawa ke lokasi lain, termasuk atrium Hab HDB di Toa Payoh, Plantation Plaza di estet kejiranan Tengah, Kampung Admiralty di Woodlands, serta pusat beli-belah Woodleigh Mall, Tampines Mall dan Westgate, sehingga Februari 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg