Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Semarak semangat S’pura dalam bab baru pembangunan negara

• Pembangunan kawasan Woodlands, Kranji dan Sembawang diumum • Pembinaan kejiranan pastikan rakyat menua dengan sihat • Sokongan pekerjaan untuk lulusan dengan perkenalkan Program Pelatih baru • Tindakan lebih tegas bagi mereka yang guna vape
Aug 17, 2025 | 10:17 PM
NDR 2025, PM Wong
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyampaikan ucapan Rapat Hari Kebangsaan di - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyeru rakyat supaya terus menghidupkan semangat Singapura sedang negara ini membuka lembaran baru selepas meraikan ulang tahunnya yang ke-60 (SG60). 

Encik Wong melahirkan keyakinan yang Singapura boleh mencapai kejayaan baru dengan keyakinan tanpa menggembar-gemburkannya. 

Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan (NDR) 2025 pada 17 Ogos di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, beliau juga mengumumkan beberapa inisiatif baru dalam pembangunan Singapura seterusnya. 

Ini termasuk pembangunan kawasan utara negara, pembinaan Kejiranan Sihat Menua, Program Pelatih baru untuk lulusan ITE, politeknik dan universiti serta tindakan lebih tegas ke atas vape. 

Dalam ucapan NDR yang pertama sejak memenangi Pilihan Raya Umum pada Mei lalu, Encik Wong berkata: 

“Kita akan mencapai kejayaan baru – bukan dengan menggembar-gemburkannya tetapi dengan keyakinan. 

“Kita akan menulis bab seterusnya dalam Kisah Singapura – melangkaui SG60. 

“Dan kita akan melakukannya bersama-sama, seiringan, sebagai satu Singapura yang teguh dan cemerlang,” ujar beliau. 

Seruan mengekalkan perpaduan dan bersatu teguh dalam terus melakarkan masa depan Singapura yang cerah ditekankan Encik Wong dalam ucapannya berbahasa Melayu, Inggeris dan Cina.  

Dalam ucapan bahasa Melayu yang membuka tirai acara, Encik Wong mengumumkan kampus Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan didirikan dalam bangunan sendiri, bersebelahan dengan kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) yang sedang dibina di Rochor. 

Selain itu, Taman Warisan Melayu (TWM) akan dibuka semula pada 25 April 2026.

Sumbangan masyarakat Cina dalam pembinaan negara juga disorot Encik Wong dalam ucapannya yang berbahasa Mandarin.

Beliau menjelaskan yang ramai pemimpin masyarakat itu telah membantu meletakkan asas kukuh dalam pembangunan Singapura menerusi derma wang dan sumber semasa zaman penjajahan. 

Bercakap dalam bahasa Inggeris pula, Encik Wong menarik perhatian yang lembaran Singapura seterusnya dibuka dalam dunia yang bergejolak dan tidak menentu. 

Ini disebabkan oleh antara lain tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif ke atas banyak negara, sistem berbilang pihak yang menjadi lemah serta konflik di Eropah dan Timur Tengah. 

Namun ini tidak bermakna Singapura akan berpeluk tubuh dan berserah dalam dunia yang dibentuk oleh negara lain. 

“Kita akan mencorak masa depan yang kita mahukan – menerusi pilihan dan tindakan kita sendiri,” ujar beliau. 

Dalam ucapannya itu, beliau menggariskan lima tumpuan utama bagi pemerintah dalam mengharungi era dunia yang rumit iaitu ekonomi, golongan belia, warga emas, rancangan masa depan dan semangat Singapura. 

Menyentuh tentang ekonomi, Encik Wong berkata Singapura memerlukan pelan induk ekonomi baru untuk menjamin masa depannya dan Pasukan Petugas Ketahanan Ekonomi yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, akan memikirkan cara segar untuk memastikan penakatan ekonomi. 

Dalam hal ini, Singapura akan mengutamakan inovasi dan teknologi, khususnya dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI). 

Akur dengan kebimbangan ramai yang AI boleh menjejas pekerjaan, Encik Wong memberi jaminan bahawa pemerintah akan pastikan semua lapisan masyarakat akan meraih manfaat. 

“Warga Singapura akan sentiasa menjadi tumpuan dalam apa sahaja yang kita lakukan. Jadi kita tidak terburu-buru untuk melaksanakan teknologi baru,” ujarnya. 

Bagi membantu rakyat dalam pekerjaan, Encik Wong mengumumkan inisiatif pemadanan pekerjaan baru di peringkat bandar yang akan diterajui Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC). 

Program Level-Up sedia ada juga akan dipertingkatkan bagi menyokong pekerja meningkatkan kemahiran. Ini termasuk membolehkan sebahagian elaun latihan digunakan bagi kursus sambilan dan meluaskan kursus ditawarkan. 

Berhubung golongan muda, Encik Wong berkata generasi muda hari ini menikmati lebih banyak peluang namun pengaruh negatif yang dihadapi juga berbeza. 

Ini termasuk isu vape yang kini menjadi keprihatinan. Walaupun sudah dilarang, ia tetap berleluasa, tekan beliau.

Lantaran itu, tindakan lebih tegas akan diambil oleh pemerintah untuk membanteras masalah ini seperti hukuman penjara dan hukuman lebih berat bagi mereka yang menjual vape yang mengandungi bahan berbahaya. 

Sementara itu, Program Pelatih baru yang dibiayai pemerintah akan diperkenalkan untuk membantu lulusan ITE, politeknik dan universiti mendapat kerja.

Dengan jangka hayat lebih lama, pemerintah akan melaksanakan lebih banyak usaha untuk memastikan rakyat dapat menua dengan lebih sihat dan baik. 

Demi menyokong warga emas menua di rumah sendiri, pemerintah akan membina Kejiranan Sihat Menua – yang pertama di Toa Payoh dan disusuli satu atau dua kejiranan lain.  

Antara lain, khidmat asas untuk warga emas seperti pemeriksaan kesihatan asas, penghantaran makanan dan sokongan jagaan kesihatan akan disediakan di kejiranan sedemikian pada masa depan. 

Dalam pada itu, Encik Wong membentangkan rancangan untuk memajukan kawasan utara – Woodlands, Kranji dan Sembawang – serupa dengan usaha di kawasan tengah, barat dan timur. 

Misalnya, di Sembawang, kawasan dok kering di Limbungan Sembawang akan dibangunkan menjadi ruang masyarakat manakala perumahan di pesisiran akan dibina. 

Menggulung ucapannya, itu, Encik Wong berkata semangat Singapura yang menyatupadukan rakyat penting supaya negara terus berkembang.

“Semangat Singapura – iltizam kolektif kita untuk mengatasi cabaran, keyakinan dalam masa depan yang dikongsi dan kepercayaan dalam satu sama lain – telah menjadi kuasa yang memacu kita. 

“Ia telah membantu kita dari permulaan yang tidak berkemungkinan untuk menjadi contoh apa yang boleh dicapai oleh sebuah negara kecil,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg