Tujuh individu, termasuk seorang anggota bomba dan seorang kanak-kanak, dikejarkan ke hospital selepas kebakaran berlaku di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Toa Payoh pada 29 Julai.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu hantaran di Facebook berkata mereka menerima maklumat mengenai kebakaran di Blok 229, Lorong 8 Toa Payoh, pada sekitar 1 petang.
Api sedang marak di dalam sebuah unit di tingkat 10 ketika pasukan bomba tiba.
Lima penduduk dan seorang anggota bomba telah dibawa ke Hospital Besar Singapura (SGH).
Seorang kanak-kanak dari unit bersebelahan diperiksa kerana terhidu asap dan telah dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.
Ketika wartawan The Straits Times (ST) tiba di lokasi tersebut sekitar 2.20 petang, sekurang-kurangnya 11 anggota bomba kelihatan bergegas dalam kawasan yang dikawal polis, sementara orang ramai mula berkumpul.
Asap tebal berwarna hitam kelihatan keluar dari tiga tingkap unit yang terjejas.
Kerosakan dan kesan asap turut merebak ke unit berdekatan serta meninggalkan kesan jelaga di dinding luar.
Penduduk yang diarah keluar berkata, api kemudian merebak ke tingkat 11 dan 12.
Anggota Parlimen (AP) GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat, ketika ditemui pihak media pada 5.30 petang berkata, besar kemungkinan penduduk yang menetap di tingkat 10 dan 11, tidak akan dapat pulang ke rumah mereka pada 29 Julai.
“Kami sedang mengatur dengan HDB bagi memastikan penduduk yang terjejas akan mendapat perumahan sementara,” ujar beliau.
Di samping itu, barang keperluan seperti makanan, tilam, kipas angin dan bantuan kewangan akan turut diberikan kepada penduduk yang terjejas jika perlu.
Punca kebakaran masih disiasat.
Sementara itu, SCDF dalam satu makluman awal menyatakan bahawa “anggota bomba telah memecah masuk secara paksa ke sebuah unit di tingkat 11 dan sedang memadamkan kebakaran di unit tersebut”.
Dalam kemas kini hampir lima jam selepas kebakaran bermula, SCDF memaklumkan api di kedua-dua unit berjaya dipadamkan sepenuhnya menggunakan tiga pancutan air.
Seorang wanita warga emas dibawa keluar menggunakan kerusi roda dan telah diberikan rawatan oleh paramedik SCDF.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Rebecca, 83 tahun, berkata beliau mula menghidu bau asap sekitar 1.30 petang ketika mahu tidur sekejap.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg