Seorang wanita dibawa ke hospital selepas keretanya terjatuh ke dalam lubang benam di Tanjong Katong Road, berhampiran kondominium One Amber, pada 26 Julai.
Orang ramai dinasihatkan supaya menjauhi kawasan tersebut.
Dalam catatan Facebook, agensi air negara PUB berkata lubang benam itu terbentuk kira-kira pada 5 petang di persimpangan Tanjong Katong Road dan Mountbatten Road, dan bersebelahan dengan tapak kerja PUB.
Jalan runtuh itu telah menjejas dua lorong jalan, dan sebuah kenderaan terjatuh ke dalam lubang benam, tambah PUB.
Pemandu wanita kereta itu diselamatkan oleh anggota Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), dan berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke Hospital Raffles.
“Pihak Polis, SCDF, dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) kini berada di lokasi untuk menguruskan keadaan. Kededua arah laluan jalan yang terjejas telah ditutup kepada lalu lintas.
“Para pemandu dinasihatkan supaya mengelak kawasan tersebut dan menggunakan laluan alternatif.
“Dua saluran paip air turut rosak akibat insiden ini. PUB sedang menjalankan kerja-kerja pengasingan saluran paip yang terjejas,” kata PUB.
Dalam catatan Facebook, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu faham bahawa orang ramai, terutamanya penduduk dan pekerja berhampiran, mungkin bimbang tentang integriti struktur bangunan dan jalan raya selepas kejadian itu.
Tambahnya, beliau telah meminta PUB untuk bekerjasama dengan agensi termasuk Penguasa Bangunan dan Binaan serta LTA untuk “menyiasat punca lubang benam secara terperinci, dan melaksanakan kerja pembaikan dengan cepat”.
Ketika hubungi Berita Harian (BH), SCDF berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut sekitar 5.50 petang.
Gambar dan video yang tersebar di media sosial menunjukkan lubang besar di sebelah jalan.
Dalam beberapa gambar, sebahagian daripada sebuah kereta berwarna gelap dilihat ditenggelami air yang mengalir di dalam lubang itu.
Dalam satu hantaran berasingan, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Goh Pei Ming, juga memaklumkan bahawa LTA dan PUB, sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut.
“Kami mengesahkan bahawa perkhidmatan bas 36 dan 48 telah dipesongkan.
“Pasukan yang berkaitan daripada SCDF, PUB, dan LTA telah dikerahkan ke lokasi,” kata Encik Goh yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Perkhidmatan Bas 48 telah dipesongkan dari Tanjong Katong Road South, Amber Road dan Marine Parade Road, dengan lima hentian bas tidak akan dilalui (82059, 82051, 92249, 92041 dan 92051) disebabkan kerja-kerja jalan, menurut hantaran Facebook SBS Transit.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg