Topik diikuti
Pergi ke BHku7 diselamatkan, 5 dibawa ke hospital selepas rumah di Whitley Road dijilat api
7 diselamatkan, 5 dibawa ke hospital selepas rumah di Whitley Road dijilat api
7 diselamatkan, 5 dibawa ke hospital selepas rumah di Whitley Road dijilat api
Tujuh orang diselamatkan selepas api menjilat sebuah rumah berhalaman di Whitley Road pada awal pagi 24 Jun.
Akibat kebakaran itu, lima daripada mereka telah dibawa ke hospital, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Pasukan itu dimaklumkan mengenai kebakaran di Tan Sim Boh Road itu kira-kira 3.30 pagi.
Rumah berhalaman itu terletak bersebelahan dengan Pusat Perubatan Thomson.
Kebakaran itu dipadamkan dengan menggunakan empat pancutan air, kata SCDF dalam satu hantaran Facebook.
Menurut pasukan itu, anggota bomba telah menjalankan kerja membasahkan keseluruhan rumah berkenaan yang sekali gus membantu mencegah kebakaran itu daripada marak semula.
SCDF menyatakan, apabila anggota bomba tiba di tempat kejadian, tingkat satu dan dua sebuah rumah separa berkembar tiga tingkat sedang terbakar.
Tingkat tiga juga terjejas oleh kebakaran itu, dan mengakibatkan rumah itu dipenuhi asap apabila anggota bomba memasukinya.
Lima orang diselamatkan dari balkoni di tingkat dua dengan tangga penyelamat, dan dua lagi diselamatkan dari tingkat satu.
Lima daripada mereka dibawa ke Hospital Besar Singapura kerana terhidu asap.
Dua lagi enggan dibawa ke hospital.
Punca kebakaran sedang disiasat.
Kejadian itu berlaku selang tiga hari selepas satu kebakaran melibatkan sebuah unit kondominium di Geylang Road pada 21 Jun.
Lima individu dipindahkan daripada beberapa unit bersebelahan, selepas sebuah Basikal Guna Kuasa (PAB) yang sedang dicas tanpa pengawasan terbakar dalam unit tersebut.
SCDF berkata mereka dimaklumkan mengenai kebakaran di 9 Lorong 26 Geylang itu pada 5.35 petang.
Carian Google menunjukkan alamat itu ialah kondominium Casa Aerata.
Lima penghuni dari unit bersebelahan dipindahkan oleh polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
