Topik diikuti
Pergi ke BHkuSambutan hari lahir jadi cemas apabila 2 flat jiran terbakar
Sambutan hari lahir jadi cemas apabila 2 flat jiran terbakar
Anggota keluarga tindak pantas, berani redah asap tebal, pindah penduduk di Punggol
Sambutan hari lahir jadi cemas apabila 2 flat jiran terbakar
Apa yang sepatutnya menjadi sambutan hari jadi ke-68 yang meriah bagi Cik Normah A Rahman bertukar menjadi detik cemas apabila kebakaran tercetus di dua rumah jirannya di Punggol.
Menurut beliau, keluarganya mempunyai tradisi berkumpul di rumahnya setiap 1 Mei untuk meraikan hari istimewanya itu.
Sambutan pada 2026 lebih bermakna apabila beliau menerima dua kek hari jadi, masing-masing daripada dua anak perempuannya.
Menyifatkan kejadian itu sebagai satu ‘kebetulan’, beliau memberitahu Berita Minggu (BM):
“Apakah kemungkinan pada hari yang saya menerima dua kek, dua kebakaran pula berlaku?”
Sekitar 6.50 petang, suasana gembira itu mula berubah apabila keluarga yang sedang berkumpul di flat tingkat 10 di Blok 223A Sumang Lane itu terhidu bau asap yang kuat.
Anak Cik Normah, Cik Siti Norhasikhin Hassan, berkata mereka pada awalnya sedang bermain permainan bersama sebelum menyedari sesuatu tidak kena.
“Selepas menjenguk ke koridor, kami mendapati satu kebakaran telah berlaku di tingkat sembilan,” ujar Cik Norhasikhin, 43 tahun, seorang penjawat awam.
Tanpa berlengah, ibu kepada tiga anak itu menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk mendapatkan bantuan, lalu meminta kebenaran untuk menggunakan hos air berhampiran lobi lif bagi memadamkan api.
Menurutnya, dua pemuda Melayu yang dikenali sebagai Muhammad Syaziq Mohamad Sukairi dan Muhammad Nurhisyam Abdol Razak, tanpa ragu-ragu tampil membantu memadamkan kebakaran menggunakan hos tersebut.
Pada masa sama, Cik Norhasikhin bersama dua anak lelakinya, Encik Muhammad Irfan Hakim Mohamad Azlan, 19 tahun, dan Encik Muhammad Izzan Mohamad Azlan, 18 tahun, bergegas dari pintu ke pintu untuk menggesa jiran keluar dari rumah masing-masing.
“Keadaan seakan sudah terkawal dan kami turun ke bawah blok untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa dan diperiksa paramedik kerana terhidu asap.
“Tetapi tiba-tiba, berlaku pula kebakaran kedua,” katanya.
Menurut SCDF, kebakaran kedua berlaku sekitar 7.40 malam di tingkat empat blok sama.
“Berbeza dengan kebakaran pertama, kebakaran kedua ini jauh lebih besar dan asapnya amat tebal sehingga dinding langsung tidak kelihatan,” tambah Cik Norhasikhin.
Pada waktu itu, ibu beliau, Cik Normah, seorang pembantu perkhidmatan pesakit di Hospital Besar Singapura, masih berada di rumah bersama beberapa anggota keluarga lain yang sedang menjaga kanak-kanak kecil.
Beliau yang tinggal bersendirian di flat sewa itu berkata mereka terdengar satu letupan kuat sebelum menyedari kebakaran kedua sedang berlaku.
“Saya sangat risau sebab Norhasikhin, Izzan, dan Irfan, belum pulang lagi. Fikiran saya berkeliaran, ‘Mana anak dan cucu-cucu aku?’
“Tetapi saya tahu niat mereka memang untuk membantu orang lain. Saya bangga mereka sanggup menolong dalam masa kecemasan.
“Saya selalu ingatkan mereka untuk membantu orang lain kerana mana tahu, esok lusa orang lain pula yang tolong kita,” nasihat Cik Normah.
Meskipun masih diperiksa pihak paramedik, Cik Norhasikhin bersama suaminya, Encik Arriyan Sabri, serta dua anak mereka segera membantu memindahkan seramai mungkin penduduk dari flat yang dipenuhi asap tebal.
“Saya sangat bangga dengan tindakan luar biasa kedua-dua anak lelaki saya dalam situasi tersebut,” kongsi Cik Norhasikhin.
Menurut beliau, Encik Irfan yang lazimnya pemalu berjaya memberanikan diri mengetuk pintu jiran tidak dikenali untuk mengarahkan mereka keluar.
Mengimbas detik itu, Encik Irfan, pelajar tahun ketiga jurusan Pelancongan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, mengakui beliau berasa takut.
“Memang menakutkan. Seluruh koridor dipenuhi asap sehingga langsung tidak kelihatan apa-apa, malah langit biru tidak lagi kelihatan apabila melangkah masuk ke dalam asap itu.
“Pada saat itu, saya hanya terfikir, ‘Kalau kami tidak bantu, siapa lagi?’ Saya bimbang apabila SCDF tiba, mungkin sudah terlambat dan nyawa sudah terkorban.
“Jadi sebagai seseorang yang berada di tempat kejadian, kita tidak sepatutnya takut untuk saling membantu,” ujarnya.
Sementara itu, Encik Izzan, yang bercita-cita menjadi anggota bomba sejak kecil, sanggup keluar dari ambulans ketika sedang menjalani pemeriksaan kesihatan untuk kembali membantu operasi pemindahan bagi kebakaran kedua.
Pelajar tahun kedua jurusan Kejururawatan di ITE Kolej Timur yang sedang menjalani latihan industri di Hospital Besar Sengkang itu berkata tindakannya didorong oleh keinginan untuk membantu.
“Apa yang saya fikirkan pada waktu itu hanyalah untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Saya langsung tidak memikirkan diri sendiri.
“Jika saya berada dalam bahaya, tidak mengapa. Saya hanya cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan orang lain,” katanya.
Menurut Cik Norhasikhin, tindakan pantas anak-anaknya itu sedikit sebanyak didorong oleh amalan keluarga yang sering menjalankan latihan senario kecemasan setiap kali keluar bersama.
Walaupun terpaksa bergerak dalam keadaan menundukkan badan akibat asap tebal yang menyesakkan, mereka sekeluarga terus berusaha membantu jiran tetangga menyelamatkan diri.
Cik Norhasikhin turut meluahkan rasa terharu melihat semangat para pemuda Melayu lain yang tampil membantu di lokasi kejadian.
“Mereka sanggup menjejas keselamatan diri, meredah asap tebal tanpa berfikir panjang, semata-mata untuk menyelamatkan nyawa orang lain,” jelas beliau.
