Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

7 lagi belia dilantik ‘Sahabat Sastera’ semarak kesusasteraan Melayu

Jun 9, 2024 | 7:26 PM
Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Encik Mohd Fahmi Aliman (tiga dari kiri), beramah mesra dengan tetamu dan Sahabat Sastera selepas majlis pelantikan di Wisma Geylang Serai pada 9 Jun. Bersamanya ialah (dari kiri) Encik Muhammad Syafiq Azman; pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura, Dr Azhar Ibrahim; Mohammed Riefqan Iman serta ibu bapanya iaitu Encik Mohammed Hairil Mohammed dan Cik Norleyana Hussin.
Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, Encik Mohd Fahmi Aliman (tiga dari kiri), beramah mesra dengan tetamu dan Sahabat Sastera selepas majlis pelantikan di Wisma Geylang Serai pada 9 Jun. Bersamanya ialah (dari kiri) Encik Muhammad Syafiq Azman; pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura, Dr Azhar Ibrahim; Mohammed Riefqan Iman serta ibu bapanya iaitu Encik Mohammed Hairil Mohammed dan Cik Norleyana Hussin. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Sungguhpun usianya baru mencecah 18 tahun, Mohammed Riefqan Iman menetapkan matlamat untuk satu hari nanti menyebarkan wacana kesusasteraan Melayu kepada golongan muda.

Maka pelantikannya sebagai Sahabat Sastera baru-baru ini menjadi pemangkin baginya untuk mencapai matlamat sedemikian.

Pelajar tahun kedua Maktab Rendah Innova Yishun (YIJC) itu berkata: “Ramai daripada golongan muda masa kini malu untuk menggunakan bahasa Melayu kerana persekitaran mereka tidak menyokong penggunaan bahasa tersebut.

“Oleh demikian, saya ingin menyebarkan wacana dan karya sasterawan negara kita kepada generasi muda supaya apa yang telah dihasilkan oleh generasi sebelum ini masih dapat kekal dan generasi muda dapat mengutip pesanan yang dititipkan penulis.”

Ini di samping menghayati keindahan bahasa Melayu itu sendiri, tambahnya.

Beliau berkongsi demikian ketika ditemui selepas majlis pelantikan Sahabat Sastera oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura di Wisma Geylang Serai pada 9 Jun.

Ia dihadiri Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman, selaku tetamu terhormat.

Riefqan merupakan salah seorang daripada tujuh Sahabat Sastera yang dilantik dalam majlis tersebut. Mereka kohort ketiga Sahabat Sastera, usaha yang bermula pada 2021.

Semasa berucap, Encik Fahmi berkata peranan yang dimainkan Sahabat Sastera penting agar landskap sastera kekal berkembang.

“Sahabat Sastera kita dilantik untuk menghayati dan mengulas karya-karya sastera demi memperkasa keupayaan mereka untuk menggerakkan aktiviti sastera di Singapura.

“Pada satu sisi, kita mempunyai kumpulan sasterawan yang terus mencipta karya sastera.

“Pada sisi yang lain, kita juga perlu karya sastera dibaca, dihayati, diulas dan dikritik supaya khazanah karya sastera kita terus berkembang,” tambah beliau.

Bagi memastikan khazanah karya sastera terus berkembang, beberapa inisiatif baru sedang dalam perancangan bagi memperhalusi dan memantapkan lagi Sahabat Sastera.

Antaranya, pengerusi Jawatankuasa Persuratan Majlis Bahasa Melayu Singapura, Dr Azhar Ibrahim, berkongsi selepas majlis bahawa terdapat rancangan untuk Sahabat Sastera menulis mengenai tokoh sasterawan negara.

Beliau berkata: “Antara perancangan kami adalah mengajak Sahabat Sastera yang boleh membuat penelitian untuk mengkaji tokoh sastera tanah air kita – iaitu para penyandang Anugerah Tun Sri Lanang.

“Tokoh ini wajar diberi perhatian dan dibuat kajian kerana ia salah satu aspek dokumentasi yang sangat penting.

“Oleh itu, antara mereka yang boleh membuat kajian, kami akan tampilkan agar ia boleh diketengahkan dalam wadah seperti forum.”

Dalam pada itu, satu pertemuan antara sasterawan turut diadakan sebelum majlis pelantikan tersebut.

Acara Rapat Sastera, yang diadakan buat julung-julung kalinya, diadakan sebagai wadah bagi sasterawan dan pengkaji sastera tanah air bertukar pandangan dan mengetengahkan isu-isu, di samping peluang beramah mesra dengan Encik Fahmi selaku pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Mengulas lebih lanjut, Encik Fahmi berkata: “Tahun ini, saya dapat bertemu dengan sasterawan dan budayawan.

“Ini penting bagi saya selaku pengerusi kerana ia memberikan saya wadah untuk terus memahami… golongan yang telah lama berkecimpung dalam bidang bahasa Melayu.

“Lebih penting bagi saya adalah untuk memahami isu yang boleh kami bantu.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg