Sekitar 7,000 kucing mendapat lesen dari 31 Ogos hingga 3 pagi pada 1 September, apabila pemilik bertindak pada saat akhir untuk mendaftarkan haiwan peliharaan mereka secara percuma di bawah Rangka Kerja Pengurusan Kucing.

Ini meskipun Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Luar), Encik Alvin Tan, telah menggesa pemilik yang belum mendaftar supaya berbuat demikian dengan segera, dalam hantarannya di Facebook pada 31 Ogos, dan semasa satu acara pada 18 Julai.

Pemilik kucing diberi tempoh dua tahun bermula 1 September 2024 untuk memasang cip mikro dan mendaftarkan haiwan peliharaan mereka di bawah rangka kerja itu.

Sesetengah pemilik haiwan peliharaan meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial tentang tempoh menunggu yang lama pada 31 Ogos di portal permohonan lesen Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), ketika waktu semakin hampir ke tengah malam.

Dalam satu respons media, Pengarah Kumpulan AVS, Cik Anna Wong, berkata AVS telah menyediakan sistem giliran maya bermula 8 malam pada 31 Ogos bagi menguruskan trafik di platform tersebut, “sebagai persediaan menghadapi lonjakan permohonan lesen pada fasa akhir tempoh peralihan”.

“Hampir 3,000 pemohon berada dalam bilik menunggu maya pada sekitar 11 malam,” ujarnya.

“Bagi membolehkan semua pemilik kucing yang menyertai giliran maya menyelesaikan pendaftaran lesen kucing peliharaan mereka, AVS memanjangkan tempoh dari tengah malam sehingga 3 pagi, 1 September,” tambahnya. 

Bagi menampung pelanjutan tempoh itu, sistem disegar semula pada 12 tengah malam pada 1 September, menurut Cik Wong.

Dalam satu hantaran di Reddit, seorang pemilik kucing memuat naik tangkapan skrin layar bilik menunggu maya yang menunjukkan masa untuk memasuki portal lesen melebihi sejam.

Tangkapan skrin itu turut menunjukkan 2,940 orang berada di hadapannya dalam giliran.

Pemilik itu menulis: “Tengok ini, 15 minit sahaja lagi sudah 12 tengah malam.”

Hantaran tersebut mendapat hampir 400 undian sokongan dan lebih 50 komen, dengan beberapa orang berkongsi pandangan yang sama.

Kini terdapat lebih 129,000 kucing peliharaan berlesen, dengan sekitar 93 peratus daripadanya telah disterilkan, kata Cik Wong dari AVS.

“Ia amat menggalakkan untuk melihat bilangan kucing peliharaan berlesen meningkat dengan ketara dalam tempoh dua bulan lepas, dengan kira-kira 15,000 ekor kucing peliharaan didaftarkan pada Julai 2026 dan lebih 47,000 ekor didaftarkan pada Ogos 2026,” tambahnya.

Bayaran lesen, yang berbeza-beza bergantung pada usia haiwan, status pembiakannya dan bilangan haiwan peliharaan dalam sesebuah rumah, akan dikenakan bagi permohonan kucing peliharaan yang dihantar mulai 1 September.

“Ia amat menggalakkan untuk melihat bilangan kucing peliharaan berlesen meningkat dengan ketara dalam tempoh dua bulan lepas, dengan kira-kira 15,000 ekor kucing peliharaan didaftarkan pada Julai 2026 dan lebih 47,000 ekor didaftarkan pada Ogos 2026,”
 Cik Anna Wong, Pengarah Kumpulan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS).