$70j disuntik bagi transformasi pertanian dan akuakultur mulai Apr 2026
$70j disuntik bagi transformasi pertanian dan akuakultur mulai Apr 2026
Satu tranche baru berjumlah $70 juta di bawah Dana Transformasi Kelompok Agro-Makanan (ACT) 2 akan disediakan mulai April 2026 untuk tempoh lima tahun bagi menyokong penggunaan teknologi serta pembangunan keupayaan dan tampungan pertanian tempatan.
Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, mengumumkan demikian semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada 4 Mac.
Dana ACT, yang dilancarkan pada 2021, telah membolehkan ladang pertanian dan akuakultur mengguna pakai pelbagai teknologi – daripada teknologi mudah berskala kecil hinggalah kepada sistem pertanian berskala besar dalam persekitaran terkawal iklim yang menjamin pengeluaran sepanjang tahun tanpa mengira keadaan cuaca.
Di samping itu, Encik Zaqy memperkenalkan satu komponen pembiayaan baru, iaitu Geran Perkongsian Industri bagi Transformasi Keupayaan.
Geran tersebut akan membiayai bersama perkongsian strategik antara ladang dengan pemain ekosistem dalam pembangunan serta pelaksanaan penyelesaian berskala industri yang dapat dimanfaatkan oleh pelbagai ladang.
“Langkah ini adalah sebagai respons terhadap maklum balas daripada pihak industri mengenai keperluan pendekatan kerjasama untuk menangani cabaran bersama seperti skala ekonomi yang terhad dan ketidakcekapan rantaian bekalan...
“Bagi sektor akuakultur pula, kami akan menyokong ladang berasaskan laut dan darat untuk mengguna pakai teknologi baharu bagi meningkatkan daya penghasilan serta ketekalan pengeluaran melalui projek demonstrasi.
“Teknologi yang berjaya dibuktikan keberkesanannya kemudian boleh diterima pakai oleh industri menerusi ACT Fund 2,” jelas beliau.
Encik Zaqy turut menambah input pertanian bermutu seperti telur, benih ikan dan makanan ternakan juga merupakan asas penting bagi kejayaan sektor akuakultur, selain teknologi.
Justeru, MSE akan memperluaskan program pembiakan nasional untuk merangkumi ikan merah, di samping menggalakkan usaha yang diterajui industri bagi meningkatkan bekalan larva udang putih dan benih ikan kerapu.
Pada November 2024, MSE telah memperkenalkan Pusat Induk Nasional (NBC) dan Program Pembangunan dan Pengiktirafan Penetasan (HDRP) untuk membekalkan ladang dengan telur dan benih ikan bermutu tinggi, yang mempunyai kadar jangka hayat dan pertumbuhan yang lebih baik.
Meskipun telur dan benih ikan bermutu tinggi menjadi asas yang kukuh, Encik Zaqy berkata aspek kesihatan dan pemakanan menentukan sama ada ladang dapat mencapai pertumbuhan optimum serta daya tahan terhadap penyakit.
“Program Sokongan Penetasan Bersepadu (IHSP) baharu Agensi Makanan Singapura (SFA) akan membantu pusat penetasan tempatan mengguna pakai makanan khusus dan vaksin bermutu bagi memaksimumkan potensi pertumbuhan benih ikan dan anak ikan bermutu tinggi.
“Ini akan dilaksanakan melalui percubaan demonstrasi bagi meningkatkan keyakinan ladang untuk melabur dalam input bermutu lebih baik,” ujar Encik Zaqy.

