Grace Fu: S’pura tumpu usaha penyesuaian dengan impak iklim meruncing
Grace Fu: S’pura tumpu usaha penyesuaian dengan impak iklim meruncing
Ketidakstabilan ekonomi dan konflik geopolitik seperti yang sedang berlaku di Timur Tengah kini mengalihkan perhatian dunia daripada krisis alam sekitar yang semakin meruncing, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Menurutnya, negara yang menjadi penyumbang pencemaran utama berkemungkinan mengabaikan komitmen iklim mereka demi mengutamakan keselamatan dan ekonomi sendiri.
Akibatnya, kita bakal berhadapan dengan impak perubahan iklim yang lebih ekstrem dalam masa lebih singkat.
Menjaga alam sekitar kini sudah menjadi lebih diutamakan selagi mana terdapat peluang untuk berdaya tahan demi masa hadapan yang terjejas akibat iklim.
Maka, dalam usaha membawa seluruh Singapura ke arah menjaga iklim, Cik Fu mengumumkan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) akan menetapkan 2026 sebagai Tahun Adaptasi Iklim – untuk menyemarakkan usaha kolektif dalam menyesuaikan diri pada perubahan iklim.
Mengulas lanjut mengenai usaha itu semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan (COS) MSE pada 3 Mac, Cik Fu berkata:
“Ia melibatkan semakan menyeluruh terhadap langkah adaptasi kami merangkumi domain utama seperti daya tahan haba, daya tahan pantai dan banjir, serta daya tahan air dan makanan.”
Langkah itu akan dirasmikan dalam Pelan Adaptasi Kebangsaan (NAP) sulung Singapura.
Beliau menambah bahawa melindungi Singapura daripada kesan iklim akan menjadi tumpuan utama MSE pada 2026, menerusi rangkaian inisiatif baharu bagi menangani ancaman bermula daripada haba yang melampau hingga kenaikan paras laut.
Cik Fu menambah usaha itu termasuk memperkukuh garis pantai terhadap kenaikan paras laut serta memperkukuh keselamatan makanan Singapura.
“Kami juga akan melabur lebih banyak dalam Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) bagi mendalami pemahaman terhadap impak haba, membangunkan penyelesaian penyejukan yang inovatif, serta mengenal pasti perubahan tingkah laku yang berkesan,” tambahnya.
Usaha meningkatkan daya tahan rakyat terhadap haba juga akan diselaraskan merangkumi seluruh pemerintah, kata Cik Fu.
Jumlah perbelanjaan MSE bagi Tahun Kewangan 2026 diunjurkan sebanyak $3.69 bilion, turun daripada $4.21 bilion pada tahun kewangan 2025.
Cik Fu turut berkongsi mengenai perkembangan daya tahan pantai dan berkata MSE akan membina benteng pertahanan berterusan di sekeliling Singapura.
Kajian khusus tapak bagi Sentosa dan Southwest Coast akan bermula pada 2026, manakala kajian konseptual bagi North-West Coast dari Tuas ke Lim Chu Kang – di mana terletaknya empat takungan air – sudah selesai, secara umum.
Kajian tersebut mengusulkan agar menggantikan pintu pasang surut dan meninggikan benteng sedia ada di takungan air bagi menghalang air laut daripada menyusup masuk, kata beliau.
Benteng yang ditinggikan itu akan juga berfungsi sebagai laluan jalan untuk penyelenggaraan dan menyertakan ciri-ciri bagi mengekalkan ketersambungan ekologi ke laut, menurut kenyataan berasingan daripada agensi air negara, PUB dan MSE.
Beberapa bahagian di utara garis pantai sepanjang 24 kilometer itu sudah berada di aras tanah yang lebih tinggi, manakala kawasan selebihnya boleh disertakan langkah perlindungan pantai dalam pembangunan akan datang, kata mereka.
Pembinaan langkah perlindungan bagi garis pantai barat laut itu disasarkan bermula dari pertengahan 2030-an.

