Kompleks Admiralty Place yang telah diubah suai kini mempunyai sebanyak 72 kedai, termasuk kedai runcit dan sebuah pasar raya Prime.
Kompleks berciri baru yang telah dilancarkan pada Sabtu juga menawarkan pelbagai kemudahan untuk para penduduknya.
Di dalam kompleks itu, para penduduk akan mendapati banyak ruang masyarakat yang membolehkan mereka berinteraksi dan meluangkan masa bersama jiran, keluarga dan rakan-rakan.
Contohnya, satu ruang yang dinamakan Atrium, di mana pembukaan rasmi diadakan pada Sabtu, boleh menjadi tempat untuk pelbagai acara dan kegiatan untuk orang ramai.
Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann berkata bahawa transformasi Admiralty Place adalah satu contoh kerjasama yang sangat baik antara para penduduk, penasihat GRO GRC Sembawang, Cik Mariam Jaafar dan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB).
“Menerusi penyertaan yang aktif dari para penduduk, Admiralty Place yang baru menawarkan pelbagai kemudahan yang memenuhi keperluan dan pilihan mereka,” kata beliau.
Antara permintaan para penduduk ialah lebih banyak pilihan makanan, khususnya pilihan makanan halal.
Kini terdapat 20 kedai makanan termasuk sebuah medan selera halal, kios bungkus dan juga pelbagai restoran makanan segera termasuk A&W.
Reka bentuk Admiralty Place itu juga diilhamkan daripada sejarah yang kaya dari kawasan itu dan menggabungkan beberapa elemen warisan.
Admiralty Place juga telah berhawa dingin dengan lif tambahan dan eskalator yang dipasang untuk meningkatkan aksesibiliti untuk pengalaman membeli-belah yang lebih selesa.
Dua laluan penghubung yang boleh diakses juga menyediakan para penduduk dengan perhubungan yang lebih baik dengan kemudahan di sekeliling.
Admiralty Place juga telah direka untuk lebih mampan dengan ciri-ciri seperti sistem lampu-lampu LED yang cekap tenaga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg