Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

800 pegawai dikerah bagi acara sambut Tahun Baru

Guna dron, AI untuk kawal 500,000 yang dijangka hadir di Marina Bay dan Hab Sukan S’pura pada 31 Dis
Dec 28, 2024 | 5:47 PM
Dron, yang akan diterbangkan di atas air oleh ahli Pasukan Respons Udara, dilengkapi dengan sensor yang boleh mengesan pergerakan di darat.
Dron, yang akan diterbangkan di atas air oleh ahli Pasukan Respons Udara, dilengkapi dengan sensor yang boleh mengesan pergerakan di darat. - Foto ST

Polis akan menggunakan dron dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengawal sekitar 500,000 peserta yang dijangka menyertai acara sambutan detik atau ‘countdown’ Tahun Baru yang bakal diadakan di Marina Bay dan Hab Sukan Singapura pada 31 Disember.

Mendedahkan rancangan untuk memastikan acara sambutan Tahun Baru diadakan dengan selamat, polis berkata lebih 800 pegawai akan dikerah ke dua tempat acara utama itu.

Mereka termasuk pegawai dari Pasukan Operasi Khas (SOC), Pasukan Perlindungan Keselamatan, Pasukan Keselamatan Pengangkutan Awam, Polis Pengawal Pantai, Polis Trafik dan Pasukan Respons Kecemasan.

Ini tidak termasuk pegawai polis auksiliari dan pegawai keselamatan.

Sebahagian daripada pegawai akan menguruskan orang ramai di Taman Esplanade, Promenade Esplanade Waterfront, Promenade Marina Bay Sands Waterfront, The Promontory, One Fullerton/Merlion Park, Stadium Roar dan Pusat Sukan Air, kata polis dalam kenyataan pada 27 Disember.

Timbalan Penolong Pesuruhjaya Polis (DAC) Wong Keng Hoe, yang merupakan komander Divisyen Polis Central, berkata: “Sepanjang acara ini, kita boleh menjangkakan masa perjalanan yang bertambah, tren tidak berhenti di stesen MRT yang sesak dan penutupan kawasan pantai bagi mengelakkan kapasiti berlebihan.”

Beberapa pintu masuk dan keluar stesen MRT di sekitar Marina Bay dan Kallang Basin akan ditutup untuk mengawal laluan orang ramai sekiranya berlaku kesesakan. 

Ada kemungkinan tren tidak akan berhenti di stesen yang terjejas seperti Stesen MRT Bayfront dan Stadium untuk menguruskan pergerakan orang ramai.

Seperti tahun-tahun lalu, pihak berkuasa akan memanfaatkan teknologi untuk membantu dalam langkah pengawalan orang ramai, kata DAC Wong.

“Kami akan menggunakan pesawat tanpa pemandu (UAV), kamera langsung dan papan tanda. Ini terbukti sangat berkesan bagi kami, terutamanya dalam memahami sesuatu situasi dengan lebih baik,” tambahnya.

UAV tersebut dilengkapi dengan sensor haba dan visual yang dapat mengesan pergerakan di darat. Ia juga dilengkapi dengan pembesar suara yang boleh menyiarkan pengumuman awam atau mesej keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.

Dron akan diterbangkan di atas air oleh ahli Pasukan Respons Udara.

Polis juga bekerjasama dengan Agensi Sains dan Teknologi Pasukan Home Team (HTX) untuk menggunakan Q-Crowd Counter, iaitu alat analisis video AI sebagai sebahagian daripada langkah mengawal orang ramai.

Alat ini menggunakan rakaman kamera langsung dari dron untuk memberikan maklumat tentang bilangan orang masa nyata kepada pegawai polis.

Sebelum ini, teknologi tersebut digunakan dalam sesi uji cuba di beberapa acara, termasuk Zoukout, pada 2022 dan 2023.

Jurucakap polis berkata peningkatan teknologi AI telah memberikan ketepatan sebanyak 90 peratus pada waktu siang dan 80 peratus pada waktu malam.

DAC Wong menggesa pengunjung menggunakan portal, Crowd@MarinaBay dan Crowd@Kallang, yang akan mula beroperasi pada 31 Disember, 7 malam.

Portal ini akan menunjukkan bilangan orang secara langsung dan penutupan kawasan, serta ciri-ciri seperti laluan pejalan kaki alternatif.

Aliran keluar orang ramai selepas acara dijangka perlahan, namun polis berkata papan tanda yang menunjukkan laluan keluar dari Marina Bay dan Hab Sukan Singapura akan disediakan.

Aliran orang ramai ke stesen MRT juga akan dikawal untuk mengelak kesesakan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg