Sekitar 8,000 keluarga rentan di daerah barat daya bakal menikmati musim perayaan lebih meriah berkat sebuah inisiatif masyarakat anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South West.
Dikenali sebagai Festive Cheers @ South West, inisiatif tahunan itu, yang bermula pada 23 November bagi tahun ini, bertujuan memberikan sokongan dan pek hadiah kepada penduduk memerlukan.
Pek itu mengandungi makanan dan keperluan rumah bernilai $88 setiap satu, dengan agihannya dijalankan dari Disember 2024 hingga Februari 2025. Jumlah keseluruhan inisiatif itu ialah $700,000. Ia bertujuan membantu keluarga itu membiayai perbelanjaan harian mereka.
Sumbangan itu hasil kerjasama CDC South West dengan syarikat farmaseutikal antarabangsa Procter & Gamble serta syarikat kejuruteraan awam dan pembinaan tempatan Koh Kock Leong Enterprise Pte Ltd.
Inisiatif tahun ini dilancarkan di Kelab Masyarakat Hillview pada 23 November, dengan dihadiri tetamu terhormat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, serta Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling, yang juga Mayor CDC South West.
Festive Cheers @ South West menyatukan pelbagai pihak, termasuk sukarelawan korporat, masyarakat, pelajar, serta hampir 300 penerima bantuan daripada keluarga berpendapatan rendah dan Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds).
“Memang sangat mengagumkan melihat seluruh masyarakat bersatu untuk membantu mereka yang memerlukan pada musim perayaan ini. Usaha ini membantu membina sebuah negara Singapura yang lebih bersatu, inklusif, dan berdaya tahan,” ujar Encik Gan.
Semasa pelancaran itu, kira-kira 60 kakitangan Procter & Gamble menyampaikan pek hadiah kepada 60 kanak-kanak serta 290 keluarga dari divisyen Chua Chu Kang.
Acara itu turut disertai 120 pelajar dari institusi seperti Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU), yang membantu membungkus dan mengedarkan pek hadiah kepada penduduk.
Cik Low berharap pek hadiah itu dapat meringankan beban keluarga semasa musim perayaan, yang biasanya memerlukan perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi.
“Inisiatif tahunan Festive Cheers @ South West mencerminkan semangat keprihatinan masyarakat kita. Sokongan menyeluruh daripada masyarakat South West, daripada individu hingga ke pertubuhan, mengukuhkan daya tahan sosial kita, yang amat penting bagi negara kecil seperti Singapura,” kata Cik Low.
Menurut Naib Presiden Kanan bagi Pasaran Perusahaan Penjagaan Rambut Daerah Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika di Procter & Gamble, Encik Ajit Nayak, ini tahun keenam syarikatnya terlibat dalam inisiatif tersebut.
“Ini juga peluang baik untuk kami dan jenama kami berhubung dengan lebih mendalam dan menjalin hubungan bermakna dengan pengguna kami.
“Kami juga teruja untuk mengabulkan hasrat hampir 300 kanak-kanak, menggandakan jumlah daripada tahun lepas,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg