AGENSI Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengambil tindakan ke atas 84 individu sedang ia mempertingkatkan langkah penguatkuasaan ke atas mereka yang melanggar langkah pengurusan selamat di pusat penjaja sejak Jumaat lalu (8 Oktober) hingga Ahad (10 Oktober).

Kesalahan yang dilakukan termasuk berhimpun dalam kumpulan melebihi dua orang, tidak mengekalkan jarak selamat satu meter, tidak menggunakan pelitup atau menariknya ke bawah, jelas NEA dalam kenyataan pada Isnin (11 Oktober).

Dalam kalangan tempat di mana individu ini didapati melanggar undang-undang termasuk di Pusat Makanan Newton, Pusat Makanan Whampoa, Pasar dan Pusat Makanan Haig Road, Pusat Makanan Golden Mile, Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim dan Pasar dan Pusat Makanan Chinatown Complex.

Kenyataan NEA itu menambah: "Sedang situasi semakin diperbaiki di pusat-pusat ini, kami masih mendapati adakalanya langkah pengurusan selamat dilanggar dalam beberapa kes dan akan terus menyusul dengan langkah lanjutan."

Ia menambah sedang sebilangan besar orang awam bekerjasama, terdapat sebilangan kecil yang tidak memberi kerjasama dan kadangkala bertindak kasar.

NEA juga menasihati orang awam bahawa mulai Rabu, hanya mereka yang lengkap divaksin dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dibenarkan makan di pusat penjaja.

Mereka yang belum divaksin atau baru mendapat satu suntikan vaksin boleh membeli makanan untuk dibawa pulang dari pusat penjaja ini.

NEA juga menasihati warga emas agar mengelakkan daripada tempat sibuk dan apabila boleh, meminta anggota isi rumah mereka atau jiran mereka agar membelikan mereka makanan daripada gerai ini.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti